TUGAS berat menanti calon ketua jurulatih baharu Speedy Tigers, bagi mengembalikan reputasi pasukan kebangsaan sebagai antara pasukan disegani dunia.

Pengarah teknikal pasukan hoki kebangsaan Indonesia, Muhammad Dharma Raj Abdullah berkata, melihatkan senarai pemain senior Malaysia, pastinya ramai pemain akan bersara kerana tidak lagi sesuai untuk beraksi pada kitaran Olimpik akan datang iaitu di Los Angeles 2028.

“Saya tidak melihat apa-apa yang menarik ketika ini dalam pasukan kebangsaan (Malaysia) tetapi saya pasti tugas berat menanti orang yang akan menjadi ketua jurulatih bagi mengembalikan reputasi hoki Malaysia.

“Kebanyakan pemain sudah sampai umur yang tidak mungkin beraksi pada Olimpik akan datang, tetapi Malaysia memiliki ramai pemain berkebolehan.

Muhammad Dharma Raj Abdullah, antara calon ketua jurulatih hoki lelaki negara yang baharu, selepas menghantar permohonannya Jumaat lalu.

“Sesiapapun yang akan mengambil posisi ketua jurulatih, hendaklah berani mengambil keputusan untuk membina pasukan baharu dan itu tentunya satu cabaran… saya adalah orang yang sukakan cabaran dan gemar menggunakan pemain buda, berwajah baharu, itu reputasi saya selama ini,” kata Dharma ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Dharma antara 23 calon ketua jurulatih pasukan kebangsaan hoki Malaysia, yang menghantar permohonan kepada Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), bersama empat lagi calon tempatan, termasuk A Arulselvaraj dan Sarjit Singh.

Dharma memberitahu, dia menghantar resume kepada KHM pada hari terakhir permohonan, Jumaat lalu, ketika kembali ke tanah air untuk bersama-sama keluarganya.

Dia yang masih mempunyai kontrak bersama pasukan kebangsaan Indonesia sehingga Disember 2025 berkata, tiada masalah untuk dia menggalas tanggungjawab di Malaysia kerana ada klausa yang membolehkannya memberi notis meletak jawatan di negara jiran itu.

A Arulselvaraj turut menghantar permohonan sebagai ketua jurulatih hoki kebangsaan lelaki negara.

“Sudah tentu saya tertarik kerana saya mahu berbakti untuk Malaysia, malah sebagai jurulatih, kita perlu profesional walau di mana bertugas.

“Keinginan untuk kembali sentiasa ada, tambahan pula anak-anak dan isteri saya berada di Malaysia,” ujar Dharma.

Dharma, 54, pernah menjadi ketua jurulatih skuad hoki wanita negara, berkelana ke Indonesia selepas kontraknya bersama Malaysian Tigress berakhir Disember 2019.

Dia mula bersama pasukan hoki Wilayah Jawa Barat pada 2020 sebelum dilamar pasukan kebangsaan Indonesia pada Mac 2021.

Sejak beliau bersama skuad Indonesia, pasukan tetangga itu mempamerkan peningkatan prestasi mendadak apabilamerangkul pingat emas sulung hoki dalam dewan lelaki di Sukan Sea Kemboja dengan menewaskan Malaysia di final.

Sebelum itu, skuad dalam dewan lelaki dan wanita Indonesia menamatkan saingan Piala Asia 2022 di kedudukan keempat dan naib juara, selain skuad hoki padang lelaki dan wanita mereka mula beraksi di Sukan Asia 2023.

Sewaktu bersama kem negara, Dharma membawa Malaysian Tigress merangkul pingat emas Sukan Sea Kuala Lumpur 2017, mencipta sejarah naib juara Pusingan Kedua Liga Hoki Wanita Dunia dan menduduki tempat kelima Sukan Asia 2018 di Jakarta-Palembang.

V Baskaran antara 18 jurulatih asing yang menyatakan minat melatih pasukan hoki lelaki negara.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan KHM, Datuk Majid Manjit Abdullah mengesahkan lima calon tempatan termasuk Dharma, Arul dan Sarjit menghantar permohonan sebagai ketua jurulatih.

“Sudah tentu kita gembira menerima 23 permohonan, mendapat sambutan yang baik dan 18 daripadanya jurulatih dari luar negara.

“Permohonan luar negara yang menarik adalah bekas jurulatih kebangsaan India V Baskaran,” kata Manjit, ketika dihubungi.

Tambah beliau, satu mesyuarat akan dilangsungkan bagi tujuan pemilihan ketua jurulatih itu Selasa depan, dan pihaknya akan mengumumkan lima hingga tujuh calon yang senarai pendek untuk tujuan temuduga.

Baskaran adalah bekas kapten pasukan kebangsaan India yang memenangi pingat emas Sukan Olimpik 1980 di Moscow.

Beliau kemudian beberapa kali menjadi ketua jurulatih India yang membawa pasukannya ke Piala Dunia 1998 dan 2006.