Isu melibatkan Olahraga Malaysia (MA) terus mendapat perhatian apabila wakil gerakan Reform in Sport & Excellence (RISE) menggesa tindakan segera diambil bagi melindungi masa depan atlet negara.
Wakil gerakan RISE yang juga bekas atlet kebangsaan, Hamdi Jaafar menegaskan bahawa tanggungjawab utama terletak kepada individu yang terlibat serta Majlis MA untuk membuat keputusan bagi mengelakkan implikasi lebih besar kepada atlet.

Bekas atlet kebangsaan, Hamdi Jaafar
Menurutnya, kegagalan menyelesaikan isu semasa berpotensi menyebabkan atlet tidak dapat menyertai kejohanan penting termasuk Sukan SEA yang menjadi platform utama ke peringkat lebih tinggi.
Beliau menjelaskan sekatan terhadap badan induk bukan sahaja menjejaskan penyertaan di peringkat serantau, malah memberi kesan kepada laluan ke Sukan Asia dan Olimpik.
Dalam masa sama, beliau menegaskan keputusan yang perlu dibuat tidak boleh dipengaruhi kepentingan individu, sebaliknya harus mengutamakan masa depan atlet dan negara.
Terdahulu, Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) mendapati bahawa presiden Olaharaga Malaysia (MA), Karim Ibrahim bersalah kerana menyalahgunakan elaun atlet ketika kem latihan pada 2009 dan menasihatkan atlet supaya mengelak ujian doping sebelum Sukan SEA 2011.
Walaupun keputusan CAS kekal, Karim kembali sebagai presiden MA pada Jun selepas perlembagaan MA dipinda untuk mengehadkan tempoh penggantungan antarabangsa kepada lima tahun, tanpa merujuk kepada Olahraga Dunia.
RISE yang menghimpunkan bekas atlet, jurulatih serta pegawai sukan kini terus mendesak perubahan bagi memastikan sistem sukan negara lebih telus dan mampan.
Perkembangan itu turut mencerminkan kebimbangan sebenar dalam kalangan komuniti sukan yang tidak mahu usaha keras atlet terjejas akibat isu pentadbiran.