DUNIA bola sepak tanah air berduka dengan pemergian bekas pengadil FIFA dan AFC, Selearajen Subramaniam yang meninggal dunia pada Sabtu.

Beliau yang pernah menabur bakti bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hampir 15 tahun, dikenang bukan sahaja kerana kehebatannya di padang, tetapi juga kerana sifat rendah hati serta dedikasinya dalam membangunkan pengadil baharu.

Selearajen turut berkhidmat sebagai referee assessor, berperanan membimbing generasi pelapis dalam arena pengadilan. Kehadirannya amat dihormati, malah sumbangannya memberi kesan mendalam dalam memartabatkan mutu pengadilan bola sepak di Malaysia dan juga di pentas antarabangsa.

Antara yang cukup terkesan dengan pemergian beliau ialah Subkhidin Mohd Salleh, bekas pengadil FIFA, dalam satu coretan penuh emosi, Subkhidin menyifatkan Selearajen sebagai seorang mentor, sahabat dan abang yang sentiasa ikhlas memberi bimbingan sejak awal kariernya pada tahun 1996.

Subkhidin (kanan) menyifatkan Selearajen (tengah) sebagai seorang mentor, sahabat dan abang yang sentiasa ikhlas memberi bimbingan sejak awal kariernya pada tahun 1996.

“Selearajen sentiasa ada dari awal, bukan sekadar rakan sekerja tetapi seorang mentor yang ikhlas memberi tunjuk ajar. Nasihat dan bimbingannya membentuk keyakinan saya sehingga ke tahap hari ini. Beliau seorang yang merendah diri, pemurah dan sentiasa mengangkat orang lain dengan penuh keikhlasan,” kata Subkhidin.

Tambahnya, pemergian Selearajen adalah kehilangan besar buat bola sepak negara kerana beliau banyak memberi sumbangan dalam memastikan standard pengadilan berada di tahap terbaik. “Kita kehilangan seorang pengadil hebat dan juga sahabat sejati yang sentiasa menjadi teladan,” ujarnya.

Upacara pengebumian Selearajen berlangsung pada 7 September di Shah Alam dan dihadiri ahli keluarga serta rakan-rakan terdekat. Kehilangannya meninggalkan kesan mendalam kepada komuniti pengadil, namun jasa dan legasi beliau akan terus dikenang serta menjadi inspirasi kepada generasi pengadil masa depan.