SABAH FA telah memulakan langkah baharu dengan mengumumkan pelantikan bekas penyerang kebangsaan, Bobby Gonzales, sebagai ketua jurulatih baharu pasukan bola sepak wanita Sabah bagi musim 2025.
Bekas penyerang kebangsaan yang kaya dengan pengalaman ini diberi tanggungjawab besar untuk membawa pasukan bola sepak wanita Sabah ke tahap lebih tinggi.
Pelantikan ini menjadi titik permulaan baharu bagi pasukan yang berhasrat untuk terus mencipta kejayaan di pentas bola sepak tempatan dan antarabangsa.
Dalam usaha memperkukuhkan barisan kejurulatihan, Bobby Gonzales tidak keseorangan kerana akan turut dibantu oleh Petronella Douny, yang dilantik sebagai penolong jurulatih.
Gabungan kepakaran dan semangat kedua-dua jurulatih ini diharap mampu memperkasakan pasukan wanita Sabah untuk terus melakar kecemerlangan.
Sementara itu, Sabah FA turut menzahirkan penghargaan kepada Justin Ganai, yang sebelum ini membimbing Pasukan bola sepak wanita Sabah sepanjang musim 2023-2024.
Di bawah kepimpinan Justin Ganai, pasukan itu berjaya meraih pelbagai pencapaian membanggakan, termasuk menjuarai Liga Wanita Nasional 2023 dan muncul naib johan pada musim 2024.
Selain itu, kejayaan pasukan pada tahun 2023 turut membuka laluan untuk pasukan bola sepak wanita Sabah mencipta sejarah sebagai wakil pertama Malaysia ke kejohanan Asian Women Champions League.
Sebagai penghormatan terhadap sumbangan besarnya, Justin Ganai kini dilantik sebagai timbalan pengurus pasukan bagi musim 2025.
Pengalaman dan kepakarannya akan terus dimanfaatkan untuk memastikan pasukan bola sepak wanita Sabah kekal kompetitif di pentas bola sepak.
Dengan Bobby Gonzales kini memimpin pasukan, semoga pasukan bola sepak wanita Sabah mampu meneruskan momentum kejayaan yang telah dibina.