Penang FC secara rasmi mengumumkan Wan Rohaimi Wan Ismail akan terus mengemudi Harimau Kumbang sebagai ketua jurulatih bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2026/27.
Keputusan mengekalkan pengendali berusia 50 tahun itu dilihat sebagai langkah penting kelab dalam memastikan kesinambungan projek pembangunan pasukan menjelang musim baharu.
Wan Rohaimi bukanlah nama asing dalam arena bola sepak tempatan. Beliau membina reputasi dalam bidang kejurulatihan dengan memegang beberapa peranan penting termasuk bersama Perlis FA, Penang FC Bawah 21 Tahun dan PDRM FC sebelum kembali ke Penang FC.
Beliau turut pernah berkhidmat sebagai pembantu jurulatih di Penang FC sebelum dilantik sebagai ketua jurulatih pada tahun 2024.
Pemegang Lesen Pro UEFA itu dikenali dengan penekanannya terhadap pembangunan pemain muda serta penerapan corak permainan moden, selari dengan hala tuju Penang FC untuk membina skuad yang lebih kompetitif.
Pihak pengurusan percaya pengalaman, komitmen dan visi Wan Rohaimi mampu membantu Harimau Kumbang mengharungi cabaran musim baharu dengan lebih baik.
Dengan kepercayaan yang terus diberikan, Wan Rohaimi kini memikul tanggungjawab besar untuk membawa Penang FC kembali menjadi pencabar lebih konsisten dalam saingan Liga Malaysia musim depan.