PENGARAH kejurulatihan perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kenneth Jonassen, bekerja keras membawa kualiti sparring bertaraf dunia ke Akademi Badminton Malaysia (ABM) sebagai usaha agresif meningkatkan konsistensi pemain perseorangan negara.

Menurut Jonassen, kehadiran pemain antarabangsa menjalani latihan bersama sepanjang dua minggu lalu, seharusnya memberi impak besar kepada pemain senior dan bakat muda dalam memahami tuntutan sebenar serta keperluan mengekalkan prestasi di peringkat tertinggi.

Leong Jun Hao menarik diri daripada perlawanan di Terbuka India.

Beliau berkata minggu ini ABM bertuah menerima kehadiran pemain nombor tiga dunia, Anders Antonsen, selepas sebelum itu turut dikunjungi Christo Popov, Toma Junior Popov, Rasmus Gemke dan bintang India, Lakshya Sen.

Jonassen menjelaskan kepelbagaian gaya permainan pemain jemputan memberikan cabaran yang jarang ditemui dalam latihan domestik sekali gus memperkayakan proses pembelajaran pemain.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pendedahan elit hanyalah satu komponen penanda aras menuju 2026 dengan konsistensi dikenal pasti sebagai elemen paling kritikal dalam pembangunan pemain.

Sudah tiba masanya BAM fokus kepada kemajuan prestasi pemain remaja, ketika pemain perseorangan lelaki dalam skuad elit menunjukkan prestasi statik.

Menurutnya, struktur latihan di ABM disusun menyerupai tekanan kejohanan termasuk membenarkan perlawanan mata penuh bagi membiasakan pemain dengan intensiti sebenar di peringkat elit.

Bagaimanapun usaha Kenneth itu mungkin belum dapat diamati pemain, selepas dua wakil negara di Terbuka India, Juston Hoh dan Leong Jun Hao tersingkir di pusingan pertama hari ini.

Justin tunduk kepada Lu Guang Zu dari China, 17-21, 15-21, manakala Jun Hao tewas 5-21 kepada Yushi Tanaka (Jepun) di set pertama sebelum menarik diri pada kedudukan 3-8 di set kedua akibat kecederaan.