MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengesahkan Jawatankuasa Road to Gold (RTG) sudah mempunyai senarai pendek atlet yang akan berada di bawah program berkenaan bagi memburu pingat emas di Sukan Olimpik Paris 2024.
Bagaimanapun, beliau, berkata buat masa ini, pihaknya tidak dapat mengumumkan nama atlet yang terpilih mengambil kira pandangan yang disuarakan tiga bekas atlet yang berada dalam jawatankuasa RTG iaitu Datuk Lee Chong Wei, Datuk Mirnawan Nawawi dan Datuk Nicol David.
“Kita bincang dengan bekas atlet yang berada dalam jawatankuasa RTG, kita masukkan mereka untuk mendapatkan perspektif atlet. Perbincangan awal dengan mereka, mereka minta jawatankuasa jangan senarai dan umumkan dulu.
“Ini adalah dari segi perspektif atlet kerana tempoh kelayakan (ke Sukan Olimpik) masih berjalan. Mereka mungkin ada sebab tertentu tetapi kita belum bincang dengan teliti kerana seperti yang saya katakan mesyuarat pertama akan diadakan minggu ini.
“Saya mahu menghormati perspektif atlet dan kalau ikutkan dari segi pentadbir, kita suka saja untuk umumkan tetapi perspektif atlet berlainan,” katanya dalam satu sidang media di Menara KBS di sini, pada Selasa.

Nicol David, Mirnawan Nawawi dan Lee Chong Wei, antara bekas atlet yang dilantik dalam jawatankuasa Road To Gold.
Beliau, berkata proses perjumpaan dengan atlet berpotensi masih dijalankan dan belum berakhir.
Tambah beliau, jawatankuasa RTG akan mempunyai beberapa siri mesyuarat dan semakan berkala terhadap atlet tersenarai.
“Sebagai contoh, hari ini, seseorang atlet itu berada di ranking ke-10 dunia dan dia layak menerima bentuk bantuan dalam RTG, namun pada tahun hadapan mungkin dia tidak lagi layak.
“Malah mungkin akan ada atlet baharu melayakkan diri ke Olimpik, jadi kita tidak mahu mengumumkan senarai palsu,” katanya.
Tambah beliau, tarikh dan tempoh perburuan mata kelayakan Olimpik juga berbeza mengikut badan induk sukan tertinggi dunia itu sendiri, menyebabkan pengumuman atlet di bawah RTG tidak boleh dilakukan lebih awal.