KOMPLEKS Sukan PCM Square@Belfield yang bakal memulakan projek pembangunannya pada April ini bakal menjadi cabang pekerjaan kepada bekas-bekas atlet para untuk melebarkan karier masing-masing.

Ketua Pemasaran Asas Arena Sdn Bhd, Brinson Yap memberitahu, proses dokumentasi tanah dalam peringkat terakhir sebelum memulakan projek.

“Sekiranya tiada aral melintang, projek akan bermula pada April ini dan dijangka mengambil tempoh setahun untuk siap. Seperti yang diumumkan sebelum ini PCM Square@Belfield ada kompleks sukan yang berbeza dengan yang lain.

“Asas Arena memberi keutamaan kepada semua bekas atlet para dan atlet para untuk menggunakan kemudahan yang disediakan, malah turut membuka peluang pekerja kepada mereka kelak,” jelasnya.

Brinson Yap

Tambah Brinson, kerjasama yang terjalin bersama Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) sejak 2023 masih lagi kekal.

“Kami menggunakan peluang kerjasama ini dengan lebih produktif apabila mengambil langkah mengkomersialkan aset milik MPM.

“Sejak awal lagi ketika perbincangan, kami ditegaskan oleh presiden MPM (Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin) untuk mengutamakan kepentingan atlet-atlet para dan MPM.

“Di kompleks ini juga, kami akan sediakan ruang pejabat secara percuma kepada 24 persatuan para negara (satellite office) selain friendly OKU centre,” jelasnya.

PCM Square@Belfield bakal menjadi venue pelbagai acara untuk beriadah untuk acara sukan indoor dan outdoor, restoran, ruang pejabat dengan fasiliti moden.