JURULATIH Korea Selatan, Jurgen Klinsmann menyatakan bahawa kemenangan penentuan sepakan penalti ke atas Arab Saudi adalah bukti pasukannya menghadapi masalah sehingga gagal menjuarai kumpulan pada fasa awal Piala Asia 2023.
Korea menang menerusi sepakan penalti ke atas Saudi apabila seri 1-1 selepas 120 minit. Menurut Klinsmann, kegagalan menyempurnakan perlawanan dalam masa biasa mendedahkan masalah yang wujud dalam skuad Taegeuk Warriors.
“Inilah sebab kenapa saya teringin sangat nak menang kumpulan. Ada sesetengah orang kata saya gembira tak jadi juara kumpulan supaya tak jumpa Jepun. Kami gagal menang kumpulan dan kena bayar untuk itu,” kata Klinsmann dalam sidang media.
Korea Selatan didakwa sengaja seri menentang Malaysia pada perlawanan akhir fasa kumpulan kerana mahu mengelak Jepun yang sudah diketahui sebagai naib juara Kumpulan D.
Jika Korea boleh menang ke atas Malaysia, sudah pasti Son Heung-min dan rakan-rakannya akan mendahului kedudukan Kumpulan E dan menjadi lawan Jepun pada Pusingan 16.
Kecurigaan mengenai keputusan seri dengan Malaysia yang disengajakan semakin kuat kerana Klinsmann dirakam kamera tersenyum apabila Romel Morales menjaringkan gol untuk Harimau Malaya dan menjadikan kedudukan 3-3 di penghujung perlawanan.
Sebelum ini, Klinsmann pernah menyatakan senyumannya bukan kerana jaringan Malaysia menghalang Korea daripada menjuarai kumpulan, sebaliknya legenda Jerman itu sudah tahu pasukannya akan ‘dihukum’ kerana berulang kali gagal menyempurnakan peluang menentang lawan.
JURGEN KLINSMANN'S SOUTH KOREA KNOCK ROBERTO MANCINI'S SAUDI ARABIA OUT OF #ASIANCUP2023. 😱
South Korea are heading to the quarterfinals! 🇰🇷 pic.twitter.com/1WBbvGAKNa
— CBS Sports Golazo ⚽️ (@CBSSportsGolazo) January 30, 2024
Dalam perlawanan menentang Saudi, Korea sekali lagi gagal menyempurnakan peluang dan hanya mampu menjaringkan gol pada minit akhir perlawanan.
Menjelang perlawanan suku akhir menentang Australia, Klinsmann juga percaya pasukannya akan menerima suntikan semangat dan mempunyai motivasi dalam memperjuangkan tiket ke separuh akhir.

“Kemenangan ini memberi semangat kepada pasukan. Saya seronok menjadi jurulatih pasukan ini dan mereka benar-benar mahu membanggakan negara. Kami mahu menang sebelum penalti, kami tidak bergantung kepada sepakan penalti,” kata Klinsmann.
“Kami akan pulih semula kerana kami mempunyai suasana yang baik. Kami akan menentang Australia, mereka menang 4-0 (ke atas Indonesia). Kemenangan ini memberikan kami keyakinan, keyakinan dan tenaga, yang diperlukan untuk berdepan Australia,” tambahnya.