PENANTIAN peminat untuk melihat dua tonggak import, Bergson da Silva dan Giancarlo Gallifuoco menyarung jersi Harimau Malaya kini semakin hampir menjadi kenyataan, sekali gus memberi suntikan besar kepada skuad kebangsaan.

Ketua jurulatih negara, Peter Cklamovski bagaimanapun mengesahkan kedua-dua pemain itu belum dapat diturunkan bagi aksi penting menentang Vietnam dalam Kelayakan Piala Asia 2027 pada 31 Mac ini berikutan proses dokumentasi yang masih belum lengkap.

“Secara dasarnya, mengenai Bergson dan Gallifuoco, saya dimaklumkan bahawa pendaftaran tidak dapat diselesaikan dalam tempoh yang membolehkan mereka dipanggil bagi perlawanan ini.

“Jadi ini situasi yang mudah untuk saya, mereka tidak boleh dipanggil bagi kem ini,” katanya.

Namun begitu, Cklamovski mendedahkan kedua-dua pemain berkenaan menunjukkan komitmen tinggi serta keinginan kuat untuk mewakili Malaysia dalam masa terdekat.

“Saya sudah bercakap dengan mereka dan mereka sememangnya bersemangat untuk mewakili Malaysia. Mereka mahu melakukan sesuatu yang istimewa untuk negara yang sudah memberikan banyak perkara kepada mereka,” katanya.

Menurutnya lagi, peluang untuk melihat kelibat mereka bersama skuad kebangsaan tetap terbuka luas dan dijangka berlaku dalam kem antarabangsa seterusnya.

“Ini sesuatu yang positif, tetapi mereka boleh dipanggil pada kem antarabangsa seterusnya,” katanya.

Dalam perkembangan sama, skuad negara turut menerima tamparan apabila pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Nacho Mendez terpaksa diketepikan akibat kecederaan yang dialami dalam aksi terdahulu.

“Untuk Mendez, semua orang melihat dia mengalami kecederaan pada aksi terakhirnya beberapa hari lalu, jadi dia terpaksa diketepikan,” katanya.

Situasi ini menyaksikan Harimau Malaya masih perlu bersabar untuk mendapatkan kekuatan penuh, namun bayangan kehadiran Bergson dan Gallifuoco jelas memberi harapan baharu buat penyokong menjelang cabaran akan datang.