DI saat spekulasi masa depannya hangat diperkatakan, ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski menegaskan komitmennya kekal utuh bersama skuad kebangsaan meskipun dikaitkan dengan tawaran lumayan dari Jepun dan China.
Pengendali kelahiran Australia itu tidak melihat tawaran berkenaan sebagai gangguan, sebaliknya menganggap ia sebagai perkara biasa dalam dunia bola sepak profesional dan enggan membiarkan perkara luar mengalih fokusnya daripada misi bersama pasukan negara.
“Tawaran adalah normal, tiada bezanya. Tugas saya sentiasa dikelilingi spekulasi, sama ada kekal atau tidak. Saya tidak memikirkan hal itu dan buang tenaga untuk perkara yang tidak boleh dikawal,” katanya.
Cklamovski menegaskan fokus utama ketika ini adalah memastikan skuad negara terus bersatu dalam menghadapi cabaran getir, terutama aksi di tempat lawan yang menuntut kekuatan mental dan disiplin tinggi.
“Kami perlu bersatu pada detik ini untuk mengharungi cabaran sukar. Saya percaya bola sepak di negara ini mampu berkembang dan kami menuju ke landasan yang tepat,” katanya lagi.
Dalam masa sama, beliau mengakui kekecewaan yang dirasai seluruh kem Harimau Malaya susulan isu penggantungan pemain warisan yang menjejaskan perjalanan pasukan di pentas antarabangsa.
“Saya terkilan, kecewa dan selain pening kepala, sebagaimana penyokong negara. Apa yang berlaku di ofis tiada kena mengena dengan aksi di atas padang, ia di luar kawalan kami,” katanya.
Walaupun dihimpit pelbagai isu luar padang, Cklamovski kekal optimis dan memilih untuk terus fokus kepada pembangunan pasukan, sekali gus memberi isyarat jelas bahawa beliau belum bersedia meninggalkan Harimau Malaya dalam tempoh terdekat.