PENYERANG Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva berjaya memahat nama Harimau Selatan di pentas Asia apabila dipilih oleh penyokong dari seluruh Asia untuk berada dalam kesebelasan utama terbaik Liga Juara-Juara AFC (ACL) musim 2022.

Bergson yang dalam musim kedua bersama JDT di ACL berjaya membuktikan kemampuan dirinya apabila menjaringkan enam gol dari enam perlawanan setelah gagal menjaringkan sebarang gol pada penampilan pertamanya ketika musim 2021.

Penyerang kelahiran Brazil itu berjaya meledak enam gol dengan jumlah 20 percubaan tepat dan memenangi 34 perebutan bola di udara sekaligus meletakkan dia sebaris dengan Zeca dari Daegu FC dan penyerang Al-Hilal Odion Iglaho.

 

Pemilihan Bergson di dalam senarai akhir kesebelasan terbaik ini juga membantu meningkatkan minat para penyokong seluruh Asia kepada Liga Super amnya dan Johor Darul Ta’zim khususnya sekaligus boleh meningkat nilai komersil Liga Malaysia.

Rekod jaringan cemerlang ini turut berjaya dibawa ke musim 2023 dalam Liga Super apabila dia sudah menyumbat lapan gol setakat ini meskipun dilanda kecederaan pada awal musim.

JDT sekali lagi akan bersaing dalam Liga Juara-Juara AFC untuk musim 2023/2024 selepas menjuarai Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut dan berdasarkan prestasi semasa, Harimau Selatan dilihat sudah bersedia untuk beraksi di pentas tertinggi kelab Asia.