LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) perlu bertindak lebih tegas bagi memastikan isu perkauman tidak terus berleluasa atau merencatkan kemeriahan saingan Liga Malaysia.

Saranan itu diberikan pemain import Terengganu FC (TFC), Pape Diakite, yang dilontarkan kata-kata berbaur perkauman oleh penyokong Melaka United ketika aksi kedua-dua pasukan, minggu lalu

Menurut bek tengah kelahiran Senegal itu, insiden berkenaan cukup mengecewakan dan memberi kesan kepadanya walaupun bukan kali pertama berdepan situasi itu sepanjang kariernya.

“Ianya sangat mengejutkan kerana sentimen perkauman tidak wajar berlaku di sebuah negara Islam dan pelbagai kata-kata kesat ditujukan kepada saya sepanjang 45 minit pada babak kedua.

“Pengadil dan pemain lawan mendengar perkara sama namun mengakui tidak dapat berbuat apa-apa. Di negara lain, pengadil akan menghentikan seketika atau membatalkan terus perlawanan.

“Jadi MFL perlu lebih tegas kerana jika tiada sebarang tindakan, ianya akan menjadi kebiasaan dalam saingan liga domestik,” jelasnya kepada FLASH SUKAN.

Pemain berusia 29 tahun berkata, insiden itu bagaimanapun tidak menjejaskan fokusnya bersama TFC yang akan turun bertemu Kedah Darul Aman (KDA) dalam aksi penutup tirai Liga Super, malam ini.

Diakite berkata, dia dan rakan-sepasukan harus memberi persembahan terbaik musim ini serta fokus 100 peratus untuk membawa pulang tiga mata sekaligus mara ke Piala AFC 2023.