MENJELANG saingan FIH Hockey Nations Cup 2026, pemain muda negara, Azimuddin Syakir Kamaruddin, mengakui persiapannya bersama skuad Speedy Tigers berjalan dengan baik dan barisan pemain kini menjalani latihan intensif bagi memastikan mereka berada pada tahap terbaik dari segi fizikal dan mental sebelum menghadapi cabaran di pentas antarabangsa.
Azim turut mendedahkan bahawa beliau sentiasa melakukan latihan tambahan, khususnya dalam aspek kecergasan, kemahiran individu serta pemahaman taktikal. Baginya, usaha berterusan amat penting untuk memastikan dirinya mampu bersaing secara sihat dan merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan kebangsaan.
“Beliau menekankan permainan yang lebih pantas, berintensiti tinggi dan disiplin dalam setiap aspek. Ia membantu kami menjadi pasukan yang lebih kompetitif,” kata Azim mengenai pendekatan jurulatih Brendon Carolan yang disifatkannya membawa perubahan positif kepada Speedy Tigers.
“Saya diberi tanggungjawab untuk sentiasa bekerja keras, membawa tenaga positif dan melaksanakan tugas yang diberikan dengan sebaik mungkin demi membantu pasukan,” ujar Azim yang memahami peranan penting yang digalas dalam skuad kebangsaan dan sentiasa berusaha memberi sumbangan terbaik dengan sikap kerja keras serta positif demi membantu pasukan.

Azim merupakan pemain hoki generasi muda yang mula mencorak langkah dalam arena antarabangsa bersama Speedy Tigers dengan penuh semangat dan potensi besar untuk masa depan.
Azim yang semakin selesa dengan tanggungjawab dalam situasi pukulan sudut penalti melihat setiap peluang di pentas antarabangsa sebagai ruang untuk terus memperbaiki diri, pada masa sama beliau menjangka New Zealand akan menjadi antara lawan paling sukar kerana pengalaman dan corak permainan mereka yang tersusun.

Azim akan menfaatkan pengalamannya sebaik mungkin untuk membantu Speedy Tigers.
Azim melihat Nations Cup 2026 sebagai peluang terbaik buat generasi baharu Speedy Tigers untuk membuktikan Malaysia masih mampu bersaing di peringkat tertinggi, sambil berharap pasukan dapat kekal konsisten dan memberi saingan sengit kepada setiap lawan.
Azim berharap Speedy Tigers akan dikenang sebagai “pasukan yang berjuang habis-habisan, tidak pernah mengalah dan sentiasa bermain demi lencana di dada,” sambil merakamkan penghargaan kepada penyokong Malaysia dan berjanji pasukan akan berjuang sepenuhnya untuk mengharumkan nama negara.