PENGENDALI Terengganu FC II (TFC II), Badrul Afzan Razali akui bukan satu tugas mudah untuk mengekalkan kedudukan di puncak Liga Premier yang dihuni kelabnya itu.

Memperoleh 23 mata 12 perlawanan meletakkan TFC II antara calon pasukan pilihan bergelar juara musim ini meskipun berbaki enam aksi.

“Saya tak ambil mudah walaupun kita duduk di atas. Saya rasa nak kekal tu bukan mudah dengan kita ada satu, dua pemain asing dan ada ketika kita pakai semua pemain tempatan.

“Tapi saya ingatkan pemain-pemain semua supaya bersedia apa yang terjadi, apa yang kita lawan, kita jalan ke depan,” kata jurulatih muda meningkat naik kelahiran Kemaman itu kepada FLASH SUKAN.

Tanpa berselindung Badrul akui ketiadaan penyerang sensasinya, Jordan Mintah begitu dirasai selepas bermain dalam beberapa permainan.

Mintah yang muncul penjaring terbanyak Liga Premier musim lalu ketika menyarung jersi skuad The Turtles itu dipinjamkan kepada juara Piala Malaysia musim lalu, Kuala Lumpur City FC (KL City FC) sehingga berakhirnya kancah liga musim ini.

Selepas ini TFC II akan melayani kunjungan PDRM FC pada 26 Julai di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.