Kredit Foto – TFC

MALAM terbaik sepanjang berada di bumi Terengganu.

Itu kata penyerang Sang Penyu, Ivan Mamut mengenai aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia, Jumaat lalu.

Masih segar dengan dua gol mengalahkan KL City FC dan membawa Terengganu FC (TFC) ke final, pemain berusia 26 tahun itu gembira dengan prestasi semasanya dalam tahun pertama di Malaysia.

Katanya, kehadiran lebih 25,000 penyokong setia TFC pada separuh akhir kedua itu nyata satu pengalaman baharu dan lebih manis lagi dia berjaya membalas dengan aksi memukau.

“Dua gol pada perlawanan itu boleh dianggap paling istimewa buat saya kerana telah berjaya membawa pasukan ke perlawanan akhir.

“Dari awal lagi sejak memanaskan badan, sorakan penonton di dalam stadium membakar semangat kami dan kehadiran ahli keluarga juga sangat membantu.

“Lebih meyakinkan selepas rakan-sepasukan juga beraksi cemerlang dan ia satu malam yang sempurna buat TFC,” ujarnya kepada FLASH SUKAN, semalam.

Menurut Mamut lagi, dia berterima kasih kepada pengendai pasukan, Tomislav Steinbruckner, yang memberi kepercayaan terhadapnya untuk meningkatkan prestasi.

Menurutnya, jurulatih berkenaan banyak memberi dorongan dan tunjuk ajar terutama pada awal musim ini setelah dia bergelut mencari sentuhan jaringan.

“Tidak dinafikan pada peringkat awal saya masih tercari-cari rentak dan cuba menyesuaikan diri, namun kini sudah semakin serasi,” katanya.

Tambah Mamut, buat masa ini fokus mereka diberikan bagi aksi Piala AFC menentang Stallion Laguna pada Rabu bagi mengintai peluang mara ke peringkat seterusnya.