JURULATIH sementara Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya, menyerahkan kepada pengurusan untuk menentukan nasib ketua jurulatih, Choi Moon Sik, yang direhatkan.

Malah Rezal mengakui tidak tahu status jurulatih Korea Selatan itu yang sah direhatkan menerusi pengumuman yang dibuat setengah jam sebelum menentang Terengganu FC (TFC), Selasa malam.

Bekas pemain negara itu sebaliknya berkata, fokus utamanya kini mahu meningkatkan corak permainan Kelantan FC sehingga pengganti Moon Sik dilantik tidak lama lagi.

“Kelantan FC akan dibimbing ketua jurulatih baharu kerana saya tidak memenuhi syarat untuk melatih pasukan Liga Super iaitu memiliki lesen pro.

“Beliau (Moon Sik) direhatkan namun saya tidak pasti untuk berapa lama atau telah dipecat, hanya pengurusan tertinggi kelab akan beritahu secara rasmi.

“Apa yang penting saya sedia ambil cabaran dan menyiapkan pasukan untuk aksi berikutnya dengan Selangor pada 9 April,” jelasnya kepada FLASH SUKAN.

Rezal berkata demikian setelah ditanya nasib menimpa Moon Sik ketika pasukan itu sedang bersedia untuk bertemu TFC yang menyaksikan kemenangan 5-0 memihak Sang Penyu.

Mengulas lanjut kekalahan besar itu, Rezal menyifatkan krisis dalaman bukan faktor Kelantan FC gagal beraksi baik sehingga tewas lima gol tanpa balas.

Katanya, faktor kualiti pemain memisahkan kedua-dua pasukan menyebabkan mereka gagal mempamerkan aksi serba tidak menjadi.

“Secara keseluruhan saya lihat banyak kelemahan dan sebelum perlawanan lagi kami tahu TFC adalah lawan yang sukar namun pemain-pemain tetap cuba beri impak positif.

“Saya pun masuk (pemangku) secara mengejut. Jadi tidak banyak yang boleh dilakukan dalam masa singkat tetapi saya anggap ianya cabaran untuk saya dan pasukan ini,” katanya.