KEPUTUSAN seri 3-3 dilakar Kedah Darul Aman (KDA) FC ketika bertemu Johor Darul Ta’zim memperlihatkan corak permainan yang sepatutnya perlu ditunjukkan para pemain Sang Kenari ketika beraksi atas padang.

Pada perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman pada Sabtu, KDA FC bermain secara luar biasa dan hampir menjinakkan JDT menerusi taktikal yang diterapkan Nafuzi Zain.

“Apa yang pemain tunjuk pada perlawanan malam ini adalah gambaran sebenar corak permainan yang sepatutnya kita main, percaya dengan taktikal dan pendekatan yang kita nak walaupun bertemu dengan mana-mana pasukan.

“Pada malam ini keyakinan setiap pemain cukup tinggi dan tempoh perlawanan 90 minit menyaksikan kedua-dua pasukan bermain dengan intensiti tinggi,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Ketika ramai penyokong meramalkan Kedah bakal dibenam lagi oleh Harimau Selatan, mereka sebaliknya tampil unik menyumbat tiga gol ke gawang lawan berbanding semasa tewas 6-0 dalam aksi pusingan pertama sebelum ini di Iskandar Puteri.

Sementara itu, Nafuzi tidak berminat meraikan kejayaan mengikat juara bertahan itu sevara berlebihan, sebaliknya kekal fokus dan momentum untuk perlawanan akan datang.

“Satu mata malam ini memang berharga, tapi ia tidak bermakna kita akan keciciran mata selepas ini,” ujarnya lagi.

Sedar banyak lagi rintangan besar perlu diteruskan pada baki lima perlawanan, Nafuzi percaya misi untuk mengakhiri saingan liga dalam kedudukan kedua terbaik tetap ada namun segalanya terserah buat anak buahnya memastikan matlamat tersebut dapat dicapai.

Selepas ini aksi liga akan berehat panjang bagi memberi laluan untuk perlawanan pasukan kebangsaan dan jurulatih berusia 44 tahun itu mahu kelab bimbingannya terus konsisten.

KDA kini kekal di tangga ketiga liga dengan meraih 44 mata, ketinggalan lima mata dibelakang Selangor FC tetapi miliki kelebihan satu perlawanan.