PENYERANG Selangor FC, Richmond Boakye disahkan mengalami kecederaan ‘cerebral concussion’ ketika berlaga dengan Sam Somerville pada minit ke-10 aksi Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu.

Menerusi satu hantaran di laman sosial rasmi kelab, unit perubatan Selangor FC mengesahkan Boakye terpaksa dikeluarkan kerana mengikut SOP perubatan bagi masalah kecederaan di kepala.

“Richmond Boakye telah dikeluarkan awal semasa perlawanan menentang JDT setelah mengalami kecederaan kepala, ‘cerebral concussion’. Mengikut prosedur perubatan bagi kecederaan ini, pemain yang terlibat hendaklah dikeluarkan dari perlawanan serta-merta bagi pemantauan, pemeriksaan dan rawatan lanjut.

“Setelah diteliti dan melalui prosedur yang telah ditetapkan, beliau kini telah pulih daripada simptom dan tanda-tanda ‘cerebral concussion’ serta pemeriksaan lanjut menunjukkan tiada kecederaan lain.

“Pengurusan kecederaan dan proses fasa pemulihan beliau akan dipantau rapi oleh pasukan perubatan sukan kelab,” tulis kenyataan itu.

Insiden itu turut menular di laman-laman sosial apabila pasukan medik JDT turut berlari ke padang memberikan bantuan selepas mendapati kecederaan yang dihadapi pemain import dari Ghana itu serius dan memerlukan rawatan segera.

Doktor pasukan JDT, Dr. Razak Ahmad (kanan) turut memberi bantuan kepada pasukan medik Selangor FC

Berkongsi pengalaman itu bersama FLASH SUKAN adalah Doktor Pasukan JDT, Dr. Razak Ahmad yang menceritakan protokol yang perlu dilakukan pegawai perubatan sekiranya perkara sebegini berlaku.

“Dari ‘bench’ saya berdiri apabila nampak pemain tersebut rebah dan apabila pemain tersebut tidak bergerak, saya turun ke padang dan berlari ke arahnya.

“Memang itu protokolnya di mana pasukan perubatan dibenarkan masuk ke padang tanpa perlu menunggu wisel dari pengadil untuk kes sebegini. Ketika saya sampai, pasukan medik Selangor sudah melakukan apa yg patut dilakukan untuk kes ‘concussion’,” jelasnya.

Meskipun Selangor terpaksa kehilangan penyerang utamanya, tindakan mengeluarkannya dari padang adalah tindakan yang tepat kerana bimbang akan kesan sampingan yang dihadapi akibat hentakan di kepala itu.

Jelas disini, meskipun bermusuhan di atas padang, keselamatan pemain menjadi tumpuan utama pasukan perubatan tanpa mengira pasukan mana yang diwakili pemain itu kerana satu saat boleh membezakan antara hidup dan mati.

Syabas dan tahniah FLASH SUKAN ucapkan kepada kedua-dua pasukan medik yang berjaya memastikan tidak ada insiden tidak diingini berlaku dan perlawanan dapat diteruskan selepas itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pasukan medik Selangor, JDT lupakan sengketa atas padang demi keselamatan Boakye