BOIKOT Liga Malaysia bukan penyelesaian, ia hanya menambahkan luka kepada bola sepak tempatan.” Itu amaran jelas penganalisis sukan, Prof Madya Zulakbal Abd Karim yang khuatir dengan penyebaran dakyah negatif oleh pihak tertentu yang didakwanya cuba menyesatkan pemikiran pemegang taruh bola sepak negara.

Menurut Zulakbal, tindakan mempersoalkan kedudukan kelab dan dakwaan kononnya ada pasukan tarik diri daripada saingan musim depan adalah tidak berasas, lebih-lebih lagi apabila keputusan rasmi Lesen Kebangsaan daripada MFL belum pun diumumkan.

penganalisis sukan, Prof Madya Zulakbal Abd Karim.

“Bagaimana boleh ada isu tarik diri sedangkan kelab itu pun belum tahu dapat lesen atau tidak? Kalau tak dapat lesen, itu bukan sebab tarik diri, tapi sebab tak cukup syarat yang ditetapkan oleh MFL dan AFC. Kriteria yang ditetapkan itu bukan remeh – ia sama macam liga profesional luar negara,” katanya.

Tambahnya lagi, minda pesimis dalam kalangan peminat dan penggerak bola sepak hanya akan memundurkan usaha pembangunan yang kini sangat memerlukan kesepakatan semua pihak.

Sebaliknya, beliau menggesa agar Malaysia belajar daripada pendekatan positif yang ditunjukkan oleh negara seperti Jepun dan Korea Selatan – dua kuasa Asia yang pernah menuntut ilmu bola sepak dari Malaysia suatu ketika dahulu.

JDT seharusnya dijadikan model pengurusan, bukan dimusuhi kata Zulakbal.

“Jepun dan Korea Selatan dulu pernah belajar dari kita, sekarang kita sepatutnya ada kerendahan hati untuk belajar dari mereka. Kenapa kita cepat sangat nak mengalah dan anggap semua salah orang lain?” katanya sambil menyatakan kelab seperti JDT seharusnya dijadikan model pengurusan, bukan dimusuhi.

Zulakbal juga menolak keras budaya ‘angkat bendera putih’ dan menyeru agar semua kelab berusaha bangkit seperti yang dilakukan oleh pasukan seperti Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Kuching City yang terus kekal bersaing walaupun tidak memiliki sumber sehebat kelab gergasi.

“Jangan cepat menyalahkan sistem, sedangkan ada kelab yang boleh bertahan dan terus mencabar. Kalau semua tarik diri, bukan saja pemain rugi – petugas stadium, pengadil, malah peniaga kecil pun akan hilang mata pencarian,” tegasnya.

Beliau menutup kenyataan dengan satu seruan: “Kalau benar sayang bola sepak Malaysia, berhentilah dengan dakyah merosakkan liga. Bangun dan ubahlah cara fikir.”