PEMAIN dan pengurusan Kuala Lumpur City FC bakal menerima ganjaran berbentuk bonus sekiranya berjaya muncul juara Piala AFC apabila berhadapan wakil Oman, Al-Seeb di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.

Ini adalah janji yang dinyatakan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) Khalid Samad pada sidang media khas menjelang aksi final Piala AFC.

Khalid juga mahukan sokongan penuh daripada warga Malaysia khususnya penyokong KL City dalam perlawanan akhir ini kerana dia menganggap penyokong adalah kekuatan buat kelab ini untuk mencipta sejarah.

 

Selain itu, jualan tiket juga memberangsangkan apabila sudah lebih 10,000 tiket dijual secara atas talian dan KL City menjangkakan 20 hingga 25 ribu penyokong bakal memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu ini.

Pihak KL City dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) juga bekerjasama baik dalam meningkatkan elemen keselamatan bagi memastikan tiada kejadian yang tidak diingini berlaku semasa hari perlawanan nanti.

“Pendekatan kami gaji bukanlah yang tertinggi tetapi akan ada insentif jika mencapai kemenangan dan bonus akan diberikan sekiranya KL City berjaya muncul juara kerana semua pemain adalah profesional dan mereka telah berkorban untuk kelab.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya warga Kuala Lumpur atas sokongan mereka yang telah memberikan kami kekuatan untuk maju ketahap ini untuk beraksi di final Piala AFC di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 22 Oktober 2022.

“KL City juga mahukan sokongan daripada semua warga kota untuk perlawanan akhir. Semoga dengan sokongan ini, kami akan muncul juara dan menaikkan ranking Malaysia di Asia dan dunia sekaligus membuktikan pasukan ini diuruskan secara baik.

“Penjualan tiket secara dalam talian kini mencecah 10,000 keping dan pihak kami bersama-sama PSM bekerjasama bagi memastikan final ini dapat dijalankan dalam keadaan yang terbaik kerana ianya juga melibatkan martabat Malaysia di mata Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC),” katanya pada sidang media itu.

Perlawanan akhir ini terpaksa dilangsungkan di Stadium Nasional Bukit Jalil kerana pihak AFC mahukan pencahayaan 1,800 lux dan penggunaan video bantuan pengadil (VAR) yang pertama kali digunakan di Malaysia.

Khalid juga berharap ianya tidak melemahkan semangat penyokong kerana perlawanan masih diadakan di Kuala Lumpur dan Stadium Nasional adalah venue dimana KL City menewaskan JDT pada final Piala Malaysia tahun lalu dan ianya sesuai untuk meraikan cita-cita kelab untuk menjadi juara Asia.

Perlawanan akhir ini juga bakal dihadiri Presiden AFC, Shaikh Salman bin Ebrahim Al Khalifa serta dif-dif kehormat dari AFC, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysia Football League (MFL).

Kuala Lumpur City FC bakal menjadi pasukan kedua negara muncul juara Piala AFC selepas Johor Darul Ta’zim melakukannya pada 2015 dengan Al Seeb yang juga mencari peluang muncul juara buat kali pertama dalam penyertaan mereka dalam kejohanan ini.