AFC Bournemouth hari ini mengesahkan bahawa kelab itu telah berpisah dengan ketua jurulatih, Scott Parker susulan kekalahan 9-0 ke tangan Liverpool pada Sabtu.

Menerusi kenyataan rasmi dari laman web kelab, pemiliknya Maxim Demin berterima kasih kepada Scott dan pasukannya dalam usaha membawa Bournemouth kembali ke Liga Perdana Inggeris musim ini.

Namun demi kestabilan kelab dan memastikan kelab sentiasa bergerak ke hadapan, pihak pengurusan terpaksa membuat keputusan ini hanya selepas empat perlawanan liga.

“Saya ingin mengucapkan penghargaan kepada Scott dan pasukannya atas usaha mereka sepanjang bersama kami. Kejayaan naik semula ke Liga Perdana di bawah kendaliannya musim lalu akan sentiasa diingati sebagai salah satu musim paling berjaya dalam sejarah kelab.

“Namun keputusan ini perlu dibuat dalam usaha untuk memastikan kita sentiasa kehadapan sebagai satu pasukan dan juga sebagai satu kelab secara keseluruhannya, dan menepati strategi untuk menguruskan kelab ini dengan mapan.

“Kita perlu menunjukkan rasa percaya dan hormat kepada satu sama lain. Ini adalah cara yang telah membawa kelab ini pelbagai kejayaan dalam sejarah masa kini dan kita tidak boleh terpesong dari saat ini. Pencarian ketua jurulatih baharu akan dijalankan secepat mungkin,” tulis kenyataan itu.

Buat sementara waktu, Gary O’Neil akan menjadi jurulatih interim untuk menguruskan pasukan dan dibantu oleh Shaun Cooper and Tommy Elphick untuk perlawanan menentang Wolverhampton Wanderers.

Bournemouth melalui musim baharu yang mencabar apabila terpaksa berhadapan tiga pasukan gergasi, Manchester City, Arsenal dan Liverpool secara berturut-turut dengan ketiga-tiga perlawanan berakhir dengan kekalahan.

Meskipun berjaya membuka kempen Liga Perdana kali ini dengan kemenangan 2-0 ke atas Aston Villa, namun kekalahan memalukan 9-0 ke atas Liverpool gagal menyelamatkan tugas Scott Parker.