PEMAIN warisan Malaysia, Richard Chin akhirnya membuka akaun jaringannya bersama Raith Rovers FC  dalam kemenangan bergaya 3-0 ke atas Arbroath FC dalam aksi Scottish Championship.

Chin, yang diturunkan dalam kesebelasan utama, memanfaatkan peluang dengan baik apabila meledak gol pada minit ke-65 selepas menerima umpanan kemas daripada rakan sepasukan, Dylon Easton.

Gol tersebut menjadi detik manis buat pemain muda itu selepas beberapa kali hampir menjaringkan gol sejak menyertai Raith Rovers, meningkatkan keyakinannya untuk terus menyerlah bersama pasukan.

Sejak menyertai kelab tersebut pada Jun lalu, Chin telah membuat tujuh penampilan, persembahannya konsisten dan semakin mendapat perhatian penyokong pasukan.

Kemenangan ke atas Arbroath FC juga mengekalkan momentum cemerlang Raith Rovers dalam saingan liga, pasukan itu kini berada di kedudukan kedua carta dengan mengumpul 14 mata selepas lapan perlawanan.

Jaringan sulung Chin bukan sahaja memberi makna peribadi kepadanya, malah turut menjadi simbol sumbangan pentingnya dalam membantu Raith Rovers memburu kedudukan teratas liga.

Kredit Gambar : Raith Rovers FC