PEMAIN beregu lelaki negara Muhammad Haikal Nazri menegaskan keputusannya menarik diri daripada Terbuka Switzerland bukan alasan kosong, sebaliknya berpunca daripada kecederaan yang kembali menghantui dirinya.

Haikal berkata kecederaan di bahagian buku lali yang dirasai ketika menyertai Seluruh England awal bulan ini, memberi kesan besar terhadap tahap keyakinannya ketika beraksi.

Menurut pemain berusia 24 tahun itu, masalah bermula ketika sesi latihan di Birmingham apabila buku lalinya terpelecok sekali gus menjejaskan pergerakan di gelanggang.

“Ketika di Seluruh England, masa latihan saya twist ankle dan saya sudah maklumkan kepada jurulatih yang saya mungkin tidak boleh beraksi dengan baik di Terbuka Switzerland,” katanya ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Haikal Nazri, menghadapi kecederaan berulang terutamanya pada buku lali.

Jelasnya lagi, keputusan menarik diri dibuat bagi mengelakkan kecederaan sama berulang memandangkan bahagian itu sudah terkena dua kali dalam tempoh singkat.

“Saya tidak fikir soal menang atau kalah tetapi perkara pertama yang saya fikirkan adalah jangan sampai cedera lagi,” katanya lagi.

Haikal turut mengakui rekod kecederaan panjang sepanjang kariernya menyebabkan dia sering berasa bimbang setiap kali turun ke gelanggang.

Katanya, selain buku lali yang sudah lebih 10 kali cedera, dia juga pernah mengalami masalah lutut, slip disc, kecederaan bahu, pergelangan tangan serta koyakan otot pinggul yang memaksanya berehat hampir enam bulan.