JAGUH berbasikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang dan rakan sepasukan Muhammad Shah Firdaus Sahrom tidak akan beraksi di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC Trek) di Tagaytay apabila memilih memberi tumpuan penuh kepada Siri Piala Dunia Trek (WTC) UCI di Nilai bulan depan.

Perkara itu disahkan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill, menjelang saingan ACC Trek 2026 yang dijadual berlangsung dari 25 hingga 31 Mac ini di Filipina.

Datuk Amarjit mahu pelumba senior negara menyerlah di Siri Piala Dunia Trek yang akan berlangsung di Veledrom Nasional, Nilai bulan depan.

Menurut Amarjit, keputusan itu dibuat bagi memastikan Azizulhasni yang digelar ‘The Pocket Rocketman’ berada pada tahap terbaik menjelang Siri Piala Dunia Trek yang bakal berlangsung di Velodrom Nasional Nilai.

“Kami berasakan lebih baik Datuk Azizulhasni fokuskan tenaganya kepada Siri Piala Dunia Trek di Nilai apatah lagi kejohanan itu kembali dianjurkan di negara ini selepas 25 tahun,” katanya.

Datuk Azizulhasni kembali mencabar dunia.|FOTO Facebook Azizulhasni Awang

Beliau berkata pendekatan sama turut diambil terhadap Shah Firdaus bagi memastikan pelumba berusia 29 tahun itu memberi tumpuan sepenuhnya kepada persiapan menghadapi kejohanan bertaraf dunia itu.

Susulan keputusan itu, PKBM akan memberi peluang kepada pelumba muda yang sedang meningkat naik seperti Lau New Joe untuk memikul cabaran negara di Tagaytay.

Shah Firdaus yang dalan proses pemulihan dan mendapatkan semula tahap terbaik kecergasan dijadual kembali ke pentas antarabangsa pada Siri Piala Dunia Trek, yang akan berlangsung di Veledrom Nasional, Nilai.

Amarjit percaya ACC Trek 2026 mampu menjadi pentas terbaik buat pelumba muda menguji kemampuan mereka menentang pencabar utama dari Asia.

“Saya yakin pelumba seperti New Joe mampu mencipta kejutan di Tagaytay dan kita perlu berani memberi peluang kepada generasi baharu beraksi di pentas tertinggi Asia,” katanya lagi.

Lau New Joe menjadi permata baharu berbasikal trek negara. |FOTO Instagram lau_newjoe

Pada masa sama, beliau mengakui PKBM teruja melihat lonjakan ranking dunia Azizulhasni selepas aksi cemerlang di Perth minggu lalu.

Azizulhasni yang memenangi emas keirin dan gangsa pecut individu di Perth melonjak ke tangga ke-18 dunia manakala New Joe turut meningkat ke kedudukan ke-17 dunia, sekali gus mengukuhkan persiapan menuju Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2026 selain Sukan Olimpik 2028.