UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) sekali lagi membuktikan keperkasaannya sebagai kuasa besar sukan universiti negara apabila mempertahankan gelaran Raja MASUM 2025 buat kali kelapan berturut-turut, sekaligus mengukuhkan legasi kejuaraan yang sukar digugat.

Kejohanan MASUM 2025 yang berlangsung dari 15 hingga 21 September di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menyaksikan UiTM menutup kempen dengan pungutan 30 pingat emas, 19 perak dan 17 gangsa daripada 10 acara utama termasuk taekwondo, silat, karate, memanah, bola tampar, bola tampar pantai, petanque, sofbol, catur dan boling padang.

Sorakan bergema di Dewan Gemilang UniSZA pada majlis penutup apabila nama UiTM diumumkan sebagai juara keseluruhan, melengkapkan rekod cemerlang lapan tahun mendominasi pentas MASUM tanpa pernah tergugat.

Pengarah Sukan UiTM, Ahmad Tarmizy Mohammed menyifatkan kejayaan itu sebagai bukti DNA juara yang tertanam dalam setiap kontinjen UiTM. “Lapan tahun berturut-turut bukan pencapaian biasa, ia adalah hasil pengorbanan atlet, bimbingan jurulatih serta sokongan universiti. UiTM akan terus melahirkan bintang sukan yang mampu bersinar di arena dunia,” katanya.

Kejayaan itu juga menandakan bahawa semangat juang warga atlet UiTM tidak pernah luntur, malah semakin menyala untuk mengharumkan nama universiti di pentas nasional mahupun antarabangsa.

Dengan kutipan keseluruhan 66 pingat, UiTM sekali lagi menegaskan bahawa gelaran Raja MASUM bukan sekadar simbol kemenangan, tetapi legasi keunggulan yang terus dipertahankan tahun demi tahun.