KURANG dua minggu sahaja lagi kempen Piala Thomas bermula dan pada detik-detik penting inilah timbul kemungkinan perseorangan lelaki, Ng Tze Yong tidak dapat bersama pasukan ke Chengdu, China.

Kemungkinan itu pasti menjadi tamparan hebat buat skuad negara, namun selepas pemain ranking ke-18 dunia itu perlu menjalani ujian Pengimejan Resonan Magnetik (MRI) dan bertemu doktor yang merawatnya terlebih dahulu.

Perkembangan itu dikongsikan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky sekali gus mengundang resah menjelang saingan yang akan bermula 28 April hingga 5 Mei ini.

Rexy Mainaky pening dengan situasi kecederaan Ng Tze Yong,

Begitupun, Rexy tidak dapat mengesahkan kemungkinan Tze Yong tidak dapat beraksi, ada kaitan dengan kecederaan belakang yang dialami pemain itu sebelum ini atau perkara lain.

“Saya akan berbincang dengan pihak pengurusan mengenai kedudukan sebenar Tze Yong untuk Piala Thomas, iaitu berdasarkan situasi semasanya, adakah dia layak atau tidak untuk main (di Piala Thomas).

“Sekarang berbalik kepada keinginannya… kerana di pihak pengurusan dan jurulatih sudah melakukan yang terbaik untuknya. Jadi sekarang terpulang kepada pemain itu sendiri.

“Ia perlu keluar dari mulut pemain itu sendiri sama ada bersedia untuk bermain atau tidak. Kalau tidak, semua pihak termasuk pihak atasan akan keliru kerana pada akhirnya pemain yang melaksanakan tugas, bukan pihak pengurusan atau jurulatih.

“Ketika ini, saya belum boleh cakap dia tak pergi (ke Piala Thomas) kerana kami belum terima laporan MRI dan belum dapat sebarang maklumat lebih lanjut,” katanya, ketika ditemui pada sesi latihan skuad negara di ABM.

Siapakah bakal dinamakan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sekiranya Ng Tze Yong tidak dapat bersama skuad Piala Thomas ke Chengdu, China 28 April-5 Mei ini.

Rexy berkata, sebelum ini, Tze Yong disenaraikan dalam skuad Piala Thomas, selepas dia sendiri mahu beraksi dalam kejohanan berpasukan itu.

“Semasa mesyuarat terakhir, jurulatihnya (Hendrawan) beritahu bahawa dia (Tze Yong) sendiri nak main. Hendrawan beritahu doktor di ISN (Institut Sukan Negara) sendiri keliru dengan situasi (kecederaan) Tze Yong sekarang,” katanya.

Tze Yong sebelum ini disahkan mengalami kecederaan belakang dan terpaksa menjalani pembedahan pada Februari lalu.

Dia kemudian menarik diri daripada Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2024 di Ningbo, China sekali gus menutup peluangnya untuk layak beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.

Bagaimanapun, BAM tetap menyenaraikan Tze Yong antara barisan pemain perseorangan lelaki negara yang akan menggalas tugas di Piala Thomas.

Selain Tze Yong, turut tersenarai adalah pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia, Leong Jun Hao, Cheam June Wei dan Justin Hoh.

Pada saingan kali ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Denmark, Hong Kong dan Algeria.