KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) berjaya menundukkan Kelantan FC dengan mengutip gol 5-0 dalam aksi Liga Super yang diadakan di Stadium Darul Aman, Sabtu malam
Jurulatih Sang Kenari, Nafuzi Zain menekankan ianya bukanlah satu perlawanan mudah seperti yang disangkakan.
“Tahniah kepada pemain kerana bermain dengan agak baik. Kita melihat perkara itu mudah kerana selepas 90 minit dapat jaringan 5-0. Bagi saya ianya bukan mudah seperti yang saya sangkakan.
“Apa pun bagi saya, tiga mata tersebut penting selepas kita berehat dan pasukan bermula dengan kemenangan.
“Saya rasa untuk malam ini, pasukan dah buat persediaan yang baik selama tiga minggu selepas friendly match dengan Pulau Pinang FC maka disitu kita sudah merancang untuk permainan malam ini dan pemain menterjemahkannya dalam permainan dengan baik, ” kata Nafuzi kepada media selepas perlawanan berakhir.
Dalam pada itu, dia juga menekankan objektifnya adalah kepada perlawanan liga dengan percaturan meletakkan Amirul Hisyam di posisi tengah dan Lee Tuck di bahagian kiri yang kedua-duanya beraksi dengan baik.
Jelasnya, percaturan yang menjadi tersebut dilakukan ketika perlawanan persahabatan dengan Pulau Pinang sebelum ini dengan mencuba beberapa posisi untuk melihat kesesuaian namun mengakui perlu melakukan perancangan baharu sebagai persediaan menentang Selangor FC kelak.
“Setiap perlawanan kita akan berhadapan dengan pihak lawan berbeza dan cara bemain juga adalah cara yang berbeza.
“Yang penting adalah dari segi persediaan pemain untuk menghadapi setiap perlawanan dan menggunakan strategi bagi mengetahui kekurangan serta kekuatan pihak lawan,” ujarnya.
Menjawab cabaran yang bakal dihadapi untuk berdepan Selangor, Nafuzi mengakui lebih sukar untuk menentang Kelantan FC kerana perlu berhadapan cabaran dari segi persepsi penyokong sekaligus sedikit sebanyak memberi tekanan.
Tambahnya, persediaan pasukan untuk bertemu Selangor adalah dengan memastikan memberi lebih fokus permainan.