MESKIPUN Kuala Lumpur (KL) City kini gah mendahului saingan Liga Super, tumpuan pemegang saham terbesar kelab itu iaitu Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) tetap tidak berganjak terhadap agenda pembangunan akar umbi. Fokus ini jelas menunjukkanKLFA enggan sekadar menumpang kejayaan skuad utama, sebaliknya mahu membina kesinambungan generasi pemain masa depan.
Era kegemilangan KLFA suatu ketika dahulu tidak dapat dipisahkan dengan jasa mantan presiden Allahyarham Tan Sri Elyas Omar yang berjaya menubuhkan akademi tersendiri. Hasilnya, sepanjang era 80-an, 90-an hingga awal 2000, Kuala Lumpur berjaya melahirkanderetan pemain berkualiti yang turut menyumbang khidmat di peringkat kebangsaan.
Antara nama besar yang lahir daripada sistem pembangunan ketika itu termasuklah Azman Adan, Yap Wai Loon, mendiang T. Gopinanth Naidu, Azrul Amri Burhan, Nizaruddin Yusof dan juga Safee Sali. Deretan bintang inilah yang pernah menjadikan Kuala Lumpur sebuahpasukan digeruni di pentas bola sepak tempatan.
Kini, Presiden KLFA, Syed Yazid Syed Omar tekad mengembalikan kegemilangan itudengan menghidupkan semula Akademi KLFA. Matlamatnya jelas — melahirkan bakat muda dari Kuala Lumpur untuk diserapkan ke dalam skuad Piala Belia dan Presiden, sekaligus memastikan kelab mempunyai kelompok pemain tempatan yang lebih berkualiti.
“KLFA mahu mengembalikan era ketika arwah Tan Sri Elyas menerajui persatuan, di mana Kuala Lumpur dibarisi pemain berbakat yang akhirnya menjadi tonggak skuad kebangsaan,” kata Syed Yazid yang juga Pengerusi KL city ketika dihubungi Flash Sukan.
Usaha ini sudah bermula dengan pemilihan fasa pertama pada 30 Ogos lalu melibatkan kategori Bawah 8, 10, 12, 14 dan 16 tahun. Seramai 180 pemain hadir mencuba nasib dan 90 daripadanya berjaya menempah tiket ke peringkat seterusnya. Fasa kedua bakal berlangsung pada 13 September depan.
Menurut Pengarah Teknikal KLFA, Sulaiman Hussin, penubuhan semula akademi inisememangnya tidak terlepas daripada beberapa kekangan, termasuklah kekurangan fasiliti. Namun beliau optimis kepimpinan Syed Yazid berada di landasan tepat untuk merealisasikan misi jangka panjang ini.
“Buat masa ini, latihan dan pemilihan hanya dijalankan di Padang Ulu Pudu. Banyak perkara masih perlu dilakukan termasuk memiliki pusat latihan khusus. Bagaimanapun, saya yakin pimpinan KLFA kini serius untuk memastikan Kuala Lumpur kembali mempunyai akademi berkesan. Malah, kami merancang mewujudkan pusat latihan KLFA di empat daerah utama— Bangsar, Pudu, Sentul dan Keramat,” jelas Sulaiman penuh keyakinan.