TIDAK mustahil gandingan beregu lelaki negara akan mengalami proses “reshuffle”.
Demikian menurut Pengarah Kejurulatihan Beregu Lelaki Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Rexy Mainaky, selepas diajukan mengenai senarai pemain dalam Kejohanan Cabaran Antarabangsa Malaysia, Disember nanti.
Beberapa beregu utama negara dilihat digandingkan dengan pasangan berbeza, sekali gus mencetus tanda tanya mengenai kemungkinan itu.
“Saya tiada niat untuk memisahkan gandingan untuk jangka panjang, tapi memang kita mahu dapatkan kombinasi yang tepat untuk pemain pelapis selain mencuba kombinasi baru,” kata Rexy.

Perubahan gandingan beregu lelaki di Cabaran Antarabangsa Malaysia untuk memberi nafas baru dan menambah kesegaran kepada skuad beregu negara.
“Bagi tiga beregu senior, mungkin kita gandingkan mereka dengan pasangan baru untuk memberi angin baru kepada mereka dan cuba bermain dengan cara berbeza apabila diberi gandingan berbeza.
“Kita tak boleh mencuba pada Terbuka Malaysia, tapi di Cabaran Antarabangsa boleh, dan kita boleh menilai prestasi pemain,” katanya lagi.
Gandingan baru di Cabaran Antarabangsa Malaysia itu nanti, Nur Izzuddin digandingkan dengan Muhammad Haikal, Goh Sze Fei dengan Goh Boon Zhe, Tee Kai Wun bersama Beh Chun Meng, Man Wei Chong dengan Fazriq Razif dan Arif Junaidi bersama Wong Vin Sean.

Goh Sze Fei dan Izzuddin turut terlibat dengan gandingan baru di Cabaran Antarabangsa Malaysia.
Bagaimanapun, apabila ditanya, adakah gandingan baru itu hanya satu percubaan, beliau menafikannya juga.
“Bukan… kalau sudah dalam kejohanan itu bukan namanya cuba-cuba,” jawab Rexy.
Beliau menjelaskan, jika ada keperluan di masa hadapan, tidak mustahil pertukaran gandingan dilakukan.
Cabaran Antarabangsa Malaysia akan bermula 13 hingga 18 Disember depan.
Rexy cukup dikenali dengan keberanian menukar gandingan dalam kejohanan-kejohanan berpasukan dan bijak mengesan kombinasi yang baik.
Sze Fei-Izzuddin dan Wei ChungpKai Wun adalah dua gandingan yang akan menjadi harapan BAM mengutip mata kelayakan Olimpik Paris 2024, selain Aaron Chia-Soh Wooi Yik.