MALAYSIA akan memulakan detik simbolik sebagai tuan rumah Sukan SEA 2027 apabila bangunan ikonik di empat negeri bakal memandikan cahaya, serentak, upacara penyerahan bendera Persekutuan Sukan SEA di Bangkok, malam esok.
Upacara pada penutup Sukan SEA Thailand 2025 itu bakal menyaksikan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari bersama Presiden MOM, Tan Sri Dr Norza Zakaria menerima bendera SEAGF sebagai isyarat rasmi bermulanya peranan Malaysia selaku tuan rumah dua tahun lagi.

Bersempena momen bersejarah itu, sebanyak 10 bangunan ikonik di Kuala Lumpur, Kuching, Johor Baharu dan Pulau Pinang akan disinari pancaran warna Jalur Gemilang bermula jam 7 malam.
Antara mercu tanda yang terlibat termasuk Menara Berkembar Petronas, Menara Kuala Lumpur, KOMTAR, Jambatan Sultan Abdul Halim, Jambatan Satok, Darul Hana Musical Fountain serta kawasan Iskandar Puteri.

Menara berkembar Petronas, KLCC.

Menara KOMTAR, Pulau Pinang.
Stadium Nasional Bukit Jalil turut akan diterangi lampu merah, kuning, biru dan putih sebagai simbol kebanggaan negara dan gelanggang utama sukan Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat MASOC, Abdul Rashid Yaakub menyifatkan komitmen empat negeri penganjur itu sebagai petanda positif menjelang edisi ke-34 temasya berkenaan.

Musical Fountain, Sarawak.

Jambatan Gantung Satok, Sarawak. | FOTO BERNAMA.
“Pencahayaan bangunan dengan warna Jalur Gemilang ini merupakan simbolik kepada sambutan Malaysia sebagai tuan rumah Sukan SEA buat kali ke-7 dan kami mahu seluruh rakyat turut merasa teruja,” katanya dalam kemyataan yang diedarkan.
Upacara penutup Sukan SEA ke-33 akan berlangsung di Stadium Rajamangala itu turut menampilkan persembahan Malaysia yang digerakkan artis tempatan Mimi Fly, Amir Jahari dan Marsha Milan bersama 60 penari pelbagai etnik.