GAGAL menghadiahkan pingat, Calvin Lee tetap puas beraksi di Sukan Asia Hangzhou kali ini, kerana berjaya mencapai matlamat untuk tidak melakukan kesilapan.

Mengakui mengidamkan pingat, namun dia sedar banyak lagi yang perlu diperbaiki dalam aksinya.

Atlet berusia 26 tahun itu yakin sudah memberikan persembahan terbaik dalam kombinasi acara nanquan + nangun di Pusat Sukan Xiaoshan Guali itu.

“Secara keseluruhan, saya berpuas hati kerana tiada penolakan mata dan itu memang sasaran utama saya. Saya membawa kekuatan persembahan saya kepada penyokong dan walaupun ia sukar tetapi saya rasa ia berbaloi.

Calvin Lee mampamerkan persembahan bertenaga namun belum cukup untuk meraih pingat di temasya Sukan Asia Hangzhou 2022.

“(Tidak menang pingat) Tak kecewa kerana apa yang penting adalah persembahan. Saya rasa okay, penyokong pun rasa okay.

“Tempoh latihan di China sebelum ini memang banyak membantu saya khususnya dari segi kecergasan yang meningkat kerana fizikal kita perlu mantap untuk beraksi dua acara dalam masa sehari,” katanya ketika ditemui selepas tamat acara, hari ini.

Selepas acara gabungan itu, Calvin menamatkan saingan nanquan di tangga ke-10 dengan 9.693 mata sementara acara nangun menyaksikan dia berada di tempat ketujuh dengan 9.710.