SELEPAS tiga hari mencuba, pelumba Caja Rural Seguros RGA, Daniel Babor akhirnya menawan Peringkat 4 PETRONAS Le Tour de Langkawi 2023 (LTdL) dari Bukit Mertajam ke Meru Raya, Selasa.

Dalam kayuhan sejauh 140.2km itu, pelumba kelahiran Republik Czech itu menamatkan kayuhan dengan henjutan deras menewaskan pemenang Peringkat 3, George Jackson (Bolton Equities Black Spoke) dan Sasha Weemaes (Human Powered Health) menjelang tiba di garisan penamat, dengan catatan masa 3 jam 6 minit 05 saat.

Tempat kedua Jackson itu juga membolehkan pelumba New Zealand itu merampas jersi pendahulu hijau Petronas selepas mendapat bonus 6 saat, mengatasi penyarung terdahulu Enrico Zanoncello (Green Project-Bardiani CSF-Faizane).

Babor berkata, kemenangan dalam penampilan pertamanya di LTdL menjelang akhir musim, menceriakan dirinya yang agak bergelut sejak awal musim selepas menyertai pasukanhandalan Sepanyol itu.

Dengan hanya satu kemenangan peringkat di Volta a Portugal dan memenangi jersi Raja Pecut di jelajah yang sama, dia bagaimanapun mendapat sedikit keyakinan apabila menduduki tempat keempat di Kota Bharu.

“Walaupun agak letih selepas Peringkat 3 semalam, saya mendapati kaki semakin selesa pada baki 20km terakhir dan rakan sepasukan (Tomas Barta) bekerja keras termasuk ketika mencari ruang di selekoh kiri terakhir.

“Pada baki 400 meter, saya terus menghenjut ‘full gas’ dan cukup gembira dengan kemenangan ini,” kata Babor, 23, bekas pelumba Elkor-Kasper yang menyertai Caja Rural awal musim ini.

Jackson yang menang di Baling semalam, sedikit kecewa gagal meraih kemenangan peringkat kali kedua, tetapi mengakui Babor lebih hebat hari ini.

“Saya dapat garisan dan bantuan rakan pelumba yang bagus selepas selekoh terakhir tetapi Babor lebih kuat dalam pecutan hari ini. Masih ada peluang lagi selepas ini,” kata Jackson.

Jersi oren Raja Pecut KBS, masih kekal milik pelumba Tudor Pro Cycling, Arvid De Kleijn yang menang Peringkat 2 di Kota Bharu dan berada di tangga ke-8 hari ini, manakala rakan sepasukannya, Simon Pellaud masih menggenggam jersi polka dot Raja Bukit Tourism Malaysia, walaupun sekadar berehat dalam peloton.

Pellaud yang mengumpul 20 mata, 8 mata di depan pencabar terdekat Luca Covilli (Bardiani) sekadar berkayuh dalam peloton untuk berehat selepas bekerja keras semalam, berkata dia hanya membantu De Kleijn mencari kemenangan peringkat lagi.

“Kami dan beberapa pasukan lain berusaha mengejar kumpulan pemecah di depan untuk membantu Arvid menang lagi tetapi mungkin strateginya kurang menjadi menyebabkan dia terperangkap ketika henjutan terakhir.

“Fokus saya kini ialah pendakian Genting Highlands esok dan saya semakin menyesuaikan diri dengan cabaran LTdL ini. Ada ramai pelumba pilihan lain seperti Simon Carr (EF Education) dan Covilli (Bardiani) tetapi saya akan cuba berada di depan,” kata pelumba kelahiran Switzerland berusia 30 tahun itu yang pernah bercuti ke negara ini dan meninjau laluan ke Genting Highlands, beberapa tahun lalu.

Sementara itu, jersi putih Beautiful terengganu untuk Pelumba Terbaik Asia pula dirampas pelumba Thailand Continental Team (TCC), Ratchanon Yaowarat yang bertindak agresif pada awal perlumbaan dengan membuat pemecahan dan memenangi zon pecutan pertama di Bagan Serai, manakala pelumba Corratec-Selle Italia, Guilio Masotto menerima anugerah ‘Most Combative Award’ tajaan Bubbles O2.

Dengan jarak dianggap pendek dan menjelang Peringkat 5 yang lebih sukar ke Genting Highlands esok, ramai pelumba memilih untuk berkayuh secara selamat tetapi Yaowarat bersama tujuh pelumba lain – Ivan Cobo (Kern Pharma); Massoto, Nichol Pareja (7-11 Cliqqs), Choi Donghyeok (KSPO), Afiq Husnie Othman (Nusantara Cycling) dan Deng Penghai (Giant) membuat pemecahan selepas 8km melepasi zon neutral.

Kumpulan depan itu silih berganti memungut mata pecut di tiga zon pecutan di Bagan Serai, Talang dan Sungai Siput serta pelumba KSPO, Donghyeok menguasai zon pendakian mudah di Kuala Kangsar.

Kumpulan depan itu bagaimanapun semakin mengecil di bawah cuaca hujan dan permukaan jalan raya yang licin, biarpun dua pelumba Roojai Online Insurance – Valentin Midey dan Polychronis Tzortzakis cuba untuk menyertai kelompok depan ketika peloton semakin bergerak laju yang dipacu pasukan Bardiani dan Bolton Equities dapat menangkap kumpulan kecil tiga pelumba – Masotto, Afiq dan Pareja – yang akhirnya ditelan pada baki 6km terakhir.

Peringkat 5 yang dianggap penentuan dan akan mengubah kedudukan keseluruhan pelumba dan pasukan akan bersambung, membabitan kayuhan dari Slim River ke Genting Highlands sejauh 126.4km, di mana dua zon pecutan menunggu di Tanjung Malim (Km13.1) dan Gombak (Km85.1).

Empat zon pendakian adalah Rawang Bypass (Km63.7); Bentong (Km107.5) dan penamat di puncak Genting pada ketinggian 1,625 meter dari aras laut.

Dengan tema ‘Beat The Heat’ Petrona LTdL 2023 sejauh 1,278.1km yang berstatus ProSeries tahun ini dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).