KETUA jurulatih Speedy Tigers, Brendon Carolan memuji semangat juang dan peningkatan prestasi yang ditunjukkan anak buahnya selepas kembali ke landasan kemenangan dengan menewaskan Korea Selatan 2-1 dalam aksi terakhir Kumpulan A Piala Negara-Negara 2025-26, hari ini.

Kemenangan itu hadir tepat pada masanya buat Speedy Tigers selepas mengharungi dua kekalahan berturut-turut sebelum ini, sekali gus mengesahkan tempat dalam saingan penentuan kedudukan kelima hingga kelapan kejohanan.

Menurut Carolan, beliau gembira melihat pasukannya mempamerkan persembahan lebih tersusun terutama dalam aspek penguasaan bola dan pembinaan serangan sepanjang perlawanan.

“Saya fikir fasa pembinaan serangan dan penguasaan bola juga lebih baik walaupun masih ada beberapa ketikanya kami kehilangan penguasaan bola.

“Kadang-kadang keputusan yang diperoleh sebenarnya adalah hasil daripada prestasi ditampilkan. Jadi, ia sesuatu yang positif untuk meraih keputusan ini dan satu langkah ke hadapan untuk perlawanan seterusnya,” katanya.

Malaysia bermula cemerlang apabila mendahului seawal minit kelima menerusi jaringan padang Mohamad Akhimullah Anuar Esook.

Bagaimanapun, Korea Selatan berjaya menyamakan kedudukan menerusi Lee Gangsan pada minit ke-20 untuk memastikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga penghujung suku ketiga.

Ketika perlawanan dilihat bakal berakhir dengan keputusan seri, Shello Silverius muncul wira pasukan apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-58 selepas memanfaatkan situasi lawan yang mengeluarkan penjaga gol bagi melaksanakan taktikal ‘power play’.

Kemenangan tersebut menyaksikan Malaysia menamatkan saingan Kumpulan A di tempat ketiga dan bakal berdepan Amerika Syarikat dalam aksi penentuan tempat kelima hingga kelapan pada Jumaat ini.

Selepas mempamerkan peningkatan ketara ketika menentang Korea Selatan, Carolan kini berharap momentum positif itu dapat diteruskan bagi memastikan Speedy Tigers menamatkan kempen di Cape Town dengan kedudukan terbaik yang mampu dicapai.

Kredit Gambar: FIH