KEJAYAAN skuad Bawah 16 Tahun Kebangsaan layak ke Piala Asia Bawah 17 Tahun 2023 adalah satu pencapaian yang membanggakan buat senario bola sepak negara yang sejak kebelakangan ini sering memberikan khabar gembira.

Kejayaan membenam Indonesia 5-1 di Stadium Pakansari itu juga menyaksikan Garuda Muda tidak berjaya layak mesikpun pada suatu ketika dilihat sudah selangkah melayakkan diri ke kejohanan Asia itu.

Terdapat empat negara yang gagal layak ke pusingan akhir meskipun berjaya mencatatkan kemenangan besar ke atas lawan masing-masing pada peringkat kumpulan selepas mata bertemu pasukan tempat keempat dan kelima tidak dikira akibat ketidakseragaman pasukan dalam kumpulan.

 

Indonesia yang berjaya mencatat kemenangan 14-0 ke atas Guam bagaikan tidak percaya mereka gagal layak sebagai 16 pasukan terbaik apabila tewas kepada Malaysia dan Laos berjaya memenangi perlawanan terakhir mereka untuk merampas tiket pasukan tempat kedua terbaik.

Selain Indonesia, satu lagi pasukan dari Kumpulan B, Emiriah Arab Bersatu (UAE) juga menerima nasib yang sama tidak layak ke Piala Asia B-17 meskipun menang besar 9-0 juga keatas Guam pada aksi pembukaan.

Dua lagi pasukan yang meraih kemenangan besar tetapi gagal mara ke Piala Asia B-17 datang dari Kumpulan D yang menyaksikan Arab Saudi dan India melangkah ke peringkat seterusnya.

Kuwait yang berjaya menumbangkan Maldives 6-0 hanya mampu berada di tangga ketiga kumpulan selain Myanmar yang turut mencatat kemenangan 7-0 keatas pasukan kepulauan itu.

Ternyata perancangan yang digunakan oleh ketua jurulatih, Osmera Omaro tepat kerana berjaya memastikan Malaysia layak dengan keadaan para pemain yang lebih cergas selepas hanya menurunkan skuad simpanan ketika seri dengan Guam.