Oleh MOHD FARIQ
IMIGRESEN FC kini menikmati prestasi terbaik selepas menduduki tangga kedua MBSB Bank Championship selepas menewaskan PIB Shah Alam 3-0 di Stadium UPM, Serdang Sabtu lalu.
Penyerang Imigresen FC, Abdul Azim Rahim muncul sebagai wira apabila mencipta hatrik sekali gus telah menjaringkan 19 gol sepanjang 17 perlawanan pada musim ini.
Bekas pemain Felda United, Penang FC dan Kuala Lumpur City FC yang berusia 26 tahun itu mencipta hatrik selepas gol seawal minit pertama, 41 dan 67.
Kejayaan itu menyaksikan Imigresen FC yang dibawah kendalian Mat Zan Mat Aris dan dibantu Zainal Abidin Hassan telah berjaya mengutip 38 mata dan dipisahkan tujuh mata dengan pendahulu liga, Kuala Lumpur Rovers di mana mereka dapat mengekalkan kedudukan kedua liga selama 48 jam sebelum perlawanan pencabar terdekat mereka, Harini Selangor FC bertemu Naga Ultimate KS FC pada malam esok.
Jurulatih Imigresen FC, Mat Zan mendedahkan beliau tidak mahu anak-anak buahnya terlalu berasa selesa kerana menyedari dua perlawanan akan datang lebih penting buat skuad kendaliannya.
“Menjelang dua perlawanan akan datang iaitu menentang pendahulu liga, Kuala Lumpur Rovers dan Harini Selangor FC adalah perlawanan penting buat kami.
“Jadi untuk perlawanan ini, kami tidak boleh tercicir mata kerana saya menuntut anak-anak buah saya memberikan satu cabaran dalam memastikan kedudukan kami lebih konsisten dan sudah pasti saya mahu mendapatkan mata maksimum ketika berdepan dua pasukan pilihan ini,” katanya.
Dalam saingan lain, Melaka FC terikat 1-1 ketika menentang Manjung City FC di Stadium Hang Tuah, Melaka dan Sarawak United FC dikejutkan kekalahan 2-4 kepada Sains FC di Stadium Negeri, Kuching.
Sains FC telah mengukuhkan kedudukan di posisi keempat liga dengan kelebihan 30 mata selepas bermain 18 perlawanan sementara Melaka FC (24 mata), PIB Shah Alam (22 mata) dan Sarawak United FC menduduki tangga kedua tercorot selepas sekadar mengutip empat mata sepanjang 18 perlawanan.
Hari ini MBSB Bank Championship meneruskan saingan dengan perlawanan menemukan Kuala Lumpur Rovers dan Bukit Tambun FC pada pukul 4.45 petang di Stadium UPM, Serdang.
Naga Ultimate KS FC pula akan berdepan Harini Selangor FC pada pukul 8.45 malam di venue yang sama pada keesokan harinya.
Harini Selangor FC yang telah mengutip 37 mata sepanjang 16 perlawanan, berpeluang untuk merampas kembali posisi kedua liga sekiranya mereka menewaskan pasukan tercorot liga, Naga Ultimate KS FC yang masih belum meraih sebarang mata pada musim ini.
MBSB Bank Championship kini memiliki baki enam perlawanan (bagi pasukan yang telah bermain 18 perlawanan) sebelum tirai liga ditutup pada musim ini.