KETUA Kontinjen (CDM) Johor,  Datuk Mohamad Najib Samuri optimis Johor bakal bergelar juara keseluruhan temasya Sukan Malaysia (Sukan) MSN kali ini.

Melihat kepada perkembagan semasa pencapaian kontinjennya, Mohamad Najib Samuri mengakui prestasi memberangsangkan pada  kejohanan kali ini yang pada awalnya diberi penghormatan kepada Johor sebagai wakil tuan rumah.

Namun, atas beberapa isu termasuk Covid – 19, ianya terpaksa dibatalkan dan tuan rumah bertukar venue kepada Majlis Sukan Negeri (MSN) sebagai tuan rumah  temasya dwitahunan itu.

Berdasarkan prestasi semasa, Johor telah berjaya melepasi sasaran dalam acara berbasikal. Selain itu, acara kanu dan olahraga juga dilihat berpotensi cerah mencapai sasaran yang ditetapkan Kontinjen Johor.

“Hari ini saya ingin umumkan yang kita telah mencapai 29 pingat emas, 2 pingat perak dan 7 pingat gangsa.

“Kita ada lagi lebih kurang enam hari, untuk kita capai sasaran kita iaitu 40 pingat emas, dan Menteri Besar memberi gambaran kita mampu mendapat sekurang-kurangnya 50 hingga 55 pingat emas.

Mohamad Najib (tengah) ketika sesi bertemu media pada Ahad malam.

“Sebenarnya, atlet kita bersedia sejak 2018. Selepas Sukma 2018 di Perak, kita dinamakan sebagai tuan rumah pada tahun 2020.

“Sejak waktu itu, semua atlet dan persatuan sukan di negeri Johor dan juga MSN  yang terlibat secara langsung dalam program pembangunan negeri Johor, hasilnya hari ini.

“Maknanya selama empat tahun inilah usaha keras daripada semua pihak di negeri Johor melibatkan semua jenis sukan, hari ini kita nampak hasilnya,” ujarnya ketika sesi bersama media pada Ahad malam.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik Kontinjen Johor sebagai tuan rumah adalah pada tahun 1992 dengan kutipan 20 pingat emas sekaligus menamatkan saingan di tempat kedua.

Manakala, pencapaian di luar Johor pula menyaksikan SUKMA 2010 di Melaka merupakan tahun terbaik bagi pasukan Johor apabila berjaya menghuni kedudukan ke-4 keseluruhan dengan kutipan 40 emas.

Kali terakhir SUKMA dilangsungkan di bumi Perak pada 2018 memperlihatkan Johor berada pada kedudukan ke-9 dengan kutipan 29 pingat emas menyamai kutipan pingat emas hari ini di temasya dwitahunan itu.