LEGENDA beregu badminton negara, Datuk Cheah Soon Kit bakal kembali melatih pemain, bukan di Malaysia tetapi Eropah, minggu hadapan.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Atlanta 1996 itu mengesahkan bahawa beliau akan terbang ke Eropah untuk tempoh pendek selama satu setengah bulan atas jemputan peribadi, yang disifatkannya sebagai lawatan ‘mesra’ dan bukan komitmen jangka panjang.

“It’s just a short stint only lah. It’s not personal, it’s just a friendly invitation,” kata Soon Kit, ditemui pada Majlis Menandatangani (MOU) Filem Sentuhan Wira di Kuala Lumpur.

Menurut Soon Kit, beliau menerima tawaran itu selepas beberapa kali diminta oleh pihak berkenaan, dan akhirnya bersetuju kerana tempohnya yang singkat.

“He been asking many, too many times lah… so I said, okeylah. Just one time,” katanya.

Beliau enggan mendedahkan nama negara terbabit, namun tidak menolak jika pengalaman singkat melatih itu akan meniup semangatnya untuk kembali serius di bidang kejurulatihan.

Selepas bersara, Soon Kit melatih pemain kebangsaan di Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 2001 hingga 2007 sebagai jurulatih beregu wanita sebelum kembali bersama BAM selama dua tahun (2016-2018), melatih beregu lelaki.

Beliau pernah melatih beberapa pasangan elit seperti Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik selain membawa Nur Izzuddin Rumsani ke skuad kebangsaan.