GAGAL mengeluarkan permainan sendiri, memerangkap beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei sehingga ditunjuk jalan keluar di suku akhir Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark.
Begitupun kekalahan itu tidak mematahkan semangat gandingan muda negara yang tewas kepada pasangan nombor dua dunia dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino 11-21, 11-21.
Kekalahan kepada naib juara edisi tahun lalu itu bukan pengakhiran dan bagi Tang Jie, mereka akan melakukan penilaian terhadap perlawanan berkenaan bagi melihat kelemahan yang boleh diperbaiki.
“Kami tidak bermain corak permainan kami dan sudah tentu, kemampuan mereka membuatkan kami bergelut. Kami akan melihat video dan memperbaiki lagi. Sekiranya di kejohanan lain kami bertemu dengan mereka lagi, kami akan cuba terbaik untuk menewaskan mereka,” kata Tang Jie.
Untuk rekod, kekalahan berkenaan adalah yang kedua buat Tang Jie-Ee Wei di tangan gandingan Jepun itu yang sebelum ini pernah menewaskan mereka di separuh akhir Terbuka Singapura, Jun lalu.
Tang Jie-Ee Wei yang meraih tiga gelaran pada tahun ini, Terbuka Taiwan, Orlenas Masters dan Cabaran Antarabangsa Iran selepas ini dijadual menyertai Terbuka China dari 5 hingga 10 September nanti.
“Kami tidak memikirkan yang ini Kejohanan Dunia ataupun apa. Setiap kejohanan amat penting buat kami. Tak kiralah Kejohanan Dunia, Terbuka China atau yang terdekat Sukan Asia. Kalau kami bermain di mana-mana kejohanan, itulah kejohanan penting buat kami.
“Kami akan cuba melakukan yang terbaik di setiap kejohanan,” kata Tang Jie.
Tang Jie dan Ee Wei mula digandingkan pada November tahun lalu, segera menunjukkan hasilnya, meraih gelaran Cabaran Antarabangsa Bangladesh 2022 dengan menewaskan gandingan Thailand, Phatharathorn Nipornram- Alisa Sapniti, 21-15,21-13.