SPEKULASI panas di media sosial akhirnya diperjelas, apabila Soh Wooi Yik menafikan dakwaan kononnya dia mahu meninggalkan skuad kebangsaan.
Pemain beregu lelaki negara itu menegaskan status “Pro Badminton Player” di Instagram miliknya tidak membawa maksud seperti yang disangka ramai.
Sebaliknya, Wooi Yik menjelaskan ia sekadar gambaran dirinya sebagai pemain profesional dalam sukan badminton, bukan petanda mahu bergerak secara bebas di luar sistem.

“Saya rasa saya tak ada apa nak jawab mengenai itu, media sosial adalah perkara peribadi saya,” katanya ringkas, ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini.
Menurutnya, dia tidak mempunyai sebarang niat tersirat di sebalik perubahan status berkenaan yang menjadi tular minggu lalu.
“Saya tak ada niat apa-apa pun, jadi saya ‘no comment’ pasal apa yang orang cakapkan,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Wooi Yik menegaskan fokus utamanya kekal bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Aaron Chia-Soh Wooi Yik masih terlalu ampuh untuk dipisahkan.
“Tak ada niat,” katanya tegas ketika ditanya kemungkinan meninggalkan badan induk itu secara mengejut.
Isu berkenaan sebelum ini mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan peminat yang bimbang kehilangan salah seorang tonggak utama negara.
Namun, penjelasan itu dilihat meredakan keadaan sekali gus menutup ruang spekulasi tidak berasas.
Bagi Wooi Yik, apa yang lebih penting adalah prestasi di gelanggang, bukannya persepsi di media sosial, dan buat masa ini, fokusnya kekal jelas – terus berjuang bersama skuad negara demi mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.