PASANGAN beregu campuran negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei, kembali bergandingan selepas perpisahan singkat yang berpunca daripada ketegangan dalam hubungan mereka.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan keputusan itu, menerusi satu kenyataan media, selepas permintaan daripada kedua-dua pemain dan juga perbincangan bersama barisan kejurulatihan.

Sebelum ini, BAM memutuskan untuk memisahkan pasangan ini berikutan prestasi yang tidak konsisten dan ketegangan dalam hubungan mereka, termasuk tindakan Ee Wei yang memadam gambar bersama Tang Jie di media sosial selepas kekalahan di All England 2025.

Namun, amaran keras Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, yang menekankan kepentingan komitmen dalam program Road to Gold (RTG), pasangan ini memutuskan untuk bersatu semula.

Semalam Flash Sukan melaporkan, Hannah memberi amaran bahawa atlet yang tidak menunjukkan komitmen terhadap program RTG berisiko dikeluarkan daripada inisiatif elit tersebut dan kehilangan akses kepada sokongan kewangan serta struktur yang disediakan bagi persiapan ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Pasangan terbabit dijadualkan kembali beraksi bersama pada Terbuka Singapura, 27 Mei depan dengan harapan untuk mengembalikan prestasi terbaik mereka dan mengukuhkan peluang ke LA28.

Keputusan ini pastinya disambut baik peminat badminton tanah air, yang berharap gandingan semula ini akan membawa kejayaan dan kestabilan kepada skuad beregu campuran negara.

Dengan pengalaman dan pencapaian terdahulu, termasuk berada di ranking ketiga dunia, Tang Jie-Ee Wei kini fokus untuk memperbaiki prestasi dan menyumbang kepada kejayaan Malaysia di pentas antarabangsa.