SELEPAS merangkul gelaran pertama musim ini di Masters Indonesia Ahad lalu, Pearly Tan-M Thinaah diharap sekurang-kurangnya menyamai prestasi tahun lalu, apabila mara ke lapan final.
Ketua jurulatih beregu wanita kebangsaan, Rosman Razak berkata, Pearly-Thinaah momentum luar biasa musim lalu perlu dikekalkan untuk membuktikan mereka berada di landasan tepat sebagai pasangan elit dunia.
Menurutnya, pencapaian di Indonesia itu penting untuk melonjakkan semula keyakinan pasangan ranking kedua dunia itu selepas berdepan tekanan tinggi dan prestasi kurang memberangsangkan sebelum ini, khususnya ketika beraksi di Terbuka Malaysia.

Rosman Razak, harap kejayaan di Indonesia mengembalikan keyakinan kepada Pearly-Thinaah. |FOTO Pearly Tan/Thread
Beliau menegaskan fokus utama ketika ini adalah kemajuan jangka panjang kerana kehidupan sebagai pasangan beregu elit tidak pernah lari daripada turun naik prestasi serta jangkaan tinggi yang perlu diurus dengan baik.
“Untuk tahap mereka sebagai pemain nombor dua dunia, saya rasa bagus untuk mempunyai pencapaian bagi melonjakkan tahap keyakinan untuk kejohanan seterusnya.

“Tetapi proses itu biasanya akan ada pasang surut. Paling penting saya rasa adalah masa mereka “down” atau prestasi tidak bagus. Masa itulah tugas kita akan berlipat ganda untuk melonjakkan mereka semula kerana kita tidak boleh lari daripada tekanan dan jangkaan yang tinggi,” kata Rosman, ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Justeru, beliau berkata, Pearly-Thinaah tidak boleh lari dari sasaran tinggi di Seluruh England (final), sekali gus memperbaiki pencapaian tahun lalu ketika landas di suku akhir kejohanan paling tua di dunia.