KEHARMONIAN berpersatuan menjadi keutamaan calon Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Iruan Zulkefli.
Mahu memastikan suara setiap persatuan sukan kebangsaan didengari dan dihargai, Presiden Persatuan Tinju Malaysia (PTM) itu menegaskan, tiada agenda peribadi dibawanya, sekiranya terpilih berada dalam MOM.
Menurut beliau, hubungan erat antara MOM dengan semua 34 persatuan sukan kebangsaan yang bernaung di bawahnya, menjadi keutamaan demi kemajuan sukan tanah air secara menyeluruh, bukan persatuan terpilih sahaja.
Beliau yakin, berbekalkan pengalaman dalam pentadbiran kerajaan dan dunia sukan, dia mampu menjadi jambatan kukuh antara persatuan dan MOM.
“Saya mahu jadi suara buat persatuan, suara yang diberi perhatian dan tindakan. Kita perlukan program, bajet, dan kerjasama yang kukuh untuk bangunkan sukan,” katanya.
Iruan pernah menjadi Timbalan Ketua Kontinjen negara ke Sukan Asia Hangzhou 2022, juga berpengalaman di pelbagai kementerian, termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Kesihatan serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Iruan akan merebut lima kerusi Naib Presiden MOM bersama enam lagi pencabar, Dato’ Paduka Mumtaz Jaffar, Dato’ (Dr.) Chong Kim Fatt, Nurul Huda Abdullah, Dato’ Mohd Sumali Reduan, Monteiro Gerard Clair dan Azizul Annuar Adenan.
Hanya lima naib presiden akan dipilih denagn sekurang-kurangnya satu wakil calon wanita menduduki kerusi itu, akan ditentukan pada pemilihan yang akan berlangsung 19 April ini.