BEREGU wanita negara, M Thinaah lega apabila dia dan pasangan, Pearly Tan berjaya menepati mempamerkan prestasi yang dimahukan pada perlawanan pertama menentang Perancis dalam kempen Piala Sudirman 2025.
Menurut Thinaah, mereka meletakkan matlamat untuk “mengasah taring” pada perlawanan pertama menentang Margot Lambert-Camille Pognante namun tidak mengambil mudah semua pencabar di pentas berprestij itu.
“Setiap perlawanan ada cabarannya. Kami hanya mahu turun ke gelanggang dengan persiapan rapi, menikmati permainan, dan bermain sepenuh hati untuk pasukan serta negara,” katanya kepada Persekutuan Badminnton Dunia (BWF) selepas menyumbang mata Malaysia menerusi kemenangan 21-13, 21-10.
Menentang pasangan Perancis, Pearly-Thinaah mempamerkan aksi bertenaga, menguasai gelanggang dengan serangan agresif yang menggugat pertahanan lawan, sekali gus memastikan Malaysia bermula garang.
Pearly pula mendedahkan setiap titik peluh di gelanggang latihan sebelum ini kini dibayar tunai, apabila mereka tampil lebih mantap dari segi fizikal dan mental dalam memburu kecemerlangan di China.
“Kami sudah curah segala usaha ketika latihan. Di sini, kami hanya mahu berikan yang terbaik dan, paling penting, nikmati setiap detik dalam perlawanan,” katanya, yang juga kapten pasukan bersama perseorangan lelaki, Leong Jun Hao.
Skuad negara dijangka tidak berdepan masalah berdepan Australia esok dan perlu mencipta kejutan ke atas pasukan pilihan dari Jepun, pada Rabu, untuk mara ke pusingan kalah mati selaku juara kumpulan.
TAMAT