PENGENDALI Selangor FC, Tan Cheng Hoe gembira dengan rehat liga yang panjang kerana pasukan sangat memerlukannya selepas mengharungi jadual yang padat terutama ketika bulan Ramadan, April lalu.
Selangor yang bakal behadapan Perak di laman lawan perlu memastikan mereka cukup bersedia terutama untuk mengawasi permainan serangan balas skuad Seladang jika tidak mahu pulang dengan tangan kosong.
“Saya rasa rehat yang cukup bagus selepas melalui jadual yang padat pada bulan Ramadan kerana kita tahu pasukan perlukan rehat. Latihan sudah dimulakan minggu lalu tetapi keadaan kurang memuaskan kerana ketiadaan enam hingga tujuh pemain yang tidak bersama pasukan kerana ada komitmen dengan Sukan SEA.
“Ada dua tiga pemain lagi tidak dapat turun latihan kerana masalah kecederaan. Sebagai jurulatih, ada sedikit kebimbangan dan harap dapat turunkan kesebelasan terbaik menjelang aksi pada Sabtu.
“Pemain Perak kurang dari segi pengalaman tapi dari segi semangat dan kesungguhan mereka luar biasa. Kami bertandang ke Ipoh perlu fokus terutama pada serangan balas mereka kerana mempunyai pemain yang laju dan juga komited dalam perlawanan. Mereka baru sahaja menang dengan Kelantan FC dan mempunyai motivasi terbaik.

“Kami kena bersedia untuk menentang mereka dan bukan mudah untuk dapat keputusan yang baik tapi saya yakin dengan persiapan kita mampu mendapat keputusan yang positif,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN.
Ada beberapa pemain utama yang masih tidak mengikuti latihan ekoran kecederaan namun Cheng Hoe yakin dengan kemampuan pemainnya yang pastinya mahu memikat hatinya untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama.
“Brendan Gan belum turun latihan sepenuhnya kerana masalah kesihatan yang kurang baik dan saya juga tidak mahu terburu-buru untuk menurunkan dia. Yazan juga baru menyertai pasukan selepas menjalani tempoh rehab selain Noor Rawabdeh yang masih tidak turun latihan sepenuhnya tetapi saya positif dengan pemain yang ada kerana mereka mampu berikan komitmen yang terbaik dalam merebut kesebelasan utama.

“Pemain yang pulang dari Sukan Sea tidak mengalami kecederaan dan kami barisan kejurulatihan berharap mereka sedia dari sudut mental dan fizikal kerana dapat lihat mereka agak kelesuan kerana jadual yang padat selain tidak mendapat keputusan positif dan saya perlu berikan motivasi serta keyakinan sebagai jurulatih,” tambahnya.
Selangor perlu bangkit semula selepas tewas kepada Sabah FC 1-2 dalam aksi sebelum liga berehat dan peluang membawa tiga mata penuh mungkin terbuka jika Gergasi Merah mampu mempamerkan aksi mantap sekaligus memerangkap pemain Perak di laman mereka.
Kemenangan akan menjamin tempat kedua buat Selangor dalam carta Liga Super dan terus menekan pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim tetapi jika tewas, Gergasi Merah mungkin akan dipintas Sri Pahang dan Sabah FC.