PERSAINGAN merebut gelaran Atlet Terbaik pada Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2025 dijangka berlangsung sengit apabila lima juara dunia berada dalam senarai calon utama bagi edisi kali ini.
Majlis anugerah berprestij itu dijadual berlangsung pada 13 Mei di ibu negara dengan tumpuan terarah kepada siapakah atlet paling layak membawa pulang trofi berkenaan berdasarkan pencapaian cemerlang sepanjang tahun lalu.
Ratu wushu negara, Tan Cheong Min dilihat antara calon pilihan selepas mempamerkan prestasi luar biasa di pentas antarabangsa menerusi kejayaan meraih tiga pingat emas di kejohanan dunia.
Atlet berusia 27 tahun itu mencipta sejarah apabila menjadi rakyat Malaysia pertama memenangi pingat emas wushu di Sukan Dunia Chengdu, China menerusi acara Nanquan+Nandao.
Cheong Min kemudian meneruskan rentak cemerlang apabila menambah dua lagi pingat emas pada Kejohanan Wushu Dunia 2025 di Brasilia, Brazil.
Selain Cheong Min, beregu campuran badminton negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut disebut-sebut sebagai pencabar utama selepas menghadiahkan kejuaraan dunia bersejarah buat Malaysia tahun lalu.
Pasangan negara itu mencuri tumpuan apabila menewaskan wakil China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dalam straight set pada aksi final Kejohanan Dunia di Paris untuk muncul juara dunia.
Kejayaan tersebut dianggap antara pencapaian terbesar badminton negara apabila hadir sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68.
Turut berada dalam senarai calon Atlet Terbaik ialah atlet boling padang Emma Firyana Saroji, jaguh tenpin boling Muhd Rafiq Ismail serta pesilat negara Mohd Abdul Latif Maxzakir.
Anugerah SAM-100PLUS 2025 bakal disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.
Selain memberi pengiktirafan kepada atlet negara, majlis berkenaan turut menghargai peranan pengamal media sukan menerusi beberapa kategori anugerah yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan melebihi RM65,000.