KETIKA bergelar pemain badminton, kesibukan ‘travel’ membatasi masa untuk individu bernama Datuk Lee Chong Wei meluang masa bersama keluarga.
Malah pengumuman persaraannya pada 2019 juga tidak membolehkannya berehat sahaja di rumah, sebaliknya tanggungjawab dipegangnya tetap besar.
Namun beliau tetap mencari masa terbaik untuk diluang bersama isteri Datin Wong Mew Choo yang dikahwininya pada 2012, dan usia perkahwinan menjegah 10 tahun tetap manis apabila rasa teruja Chong Wei kembali, ketika menanti kelahiran bayi ketiga.
Menurut Chong Wei, selepas kelahiran Kingston, 9, dan Terrance, 7, dia dan Mew Choo sememangnya merancang untuk mendapatkan seorang puteri, sebagai penyeri kehidupan.
“Memang sejak bersara, saya mahu peruntukkan masa untuk keluarga. Banyak masa untuk isteri dan anak-anak dikorbankan sewaktu bergelar pemain badminton dahulu,” kata Chong Wei.
Beliau yang berperwatakan peramah dan suka berjenaka berkata, perasaan menanti kelahiran anak ketiga masih sama seperti menunggu kelahiran Kingston dan Terrence, kerana mereka mahukan anak perempuan.
Begitupun, beliau menyerahkan segala-galanya kepada Tuhan mengenai jantina anak yang bakal lahir nanti.
“Memang saya sudah dua kali dapat anak, tapi masih ‘excited’ kerana saya dan Datin merancang untuk mendapatkan anak perempuan kali ini, sebab sebelum ini dua lelaki.
“Tapi sudah ‘scan’ dan bayi ketiga ini juga anak lelaki. Lahir anak lelaki atau perempuan tak penting, yang penting sihat. Walaupun sudah beberapa bulan tahu jantina anak, rasa ‘excited’ itu tetap sama kerana sudah lama tak da anak kecil, yang kedua Terrance sudah 7 tahun sekarang,” kata Chong Wei yang bakal meraikan ulangtahun kelahiran ke-40 21 Oktober ini.
Katanya, beliau mahu membayar semula kepada isteri dan anak-anak masa yang tidak dapat diluangkan sebelum ini, sehingga terpaksa menolak tawaran mewah menjadi jurulatih badminton yang tidak putus-putus merisiknya dari negara Asia.
Menurutnya, bayi ketiga ini dijangka lahir pada minggu keempat November atau minggu pertama Disember, dan Mew Choo dijangka melahirkan bayi mereka di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, tempat kelahiran dua puteranya sebelum ini.