KETUA jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto menafikan dakwaan bahawa senarai pemain ke Piala Sudirman 2025 di Xiamen, China telah dimuktamadkan seperti yang tular di media sosial, baru-baru ini.
Menurut Nova, setakat ini belum ada pengumuman rasmi daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengenai senarai akhir pemain yang akan mewakili negara ke kejohanan berpasukan campuran berprestij itu.
“Senarai yang tersebar baru-baru ini tidak benar. Itu sekadar andaian sahaja. Kalau benar, BAM sendiri akan umumkan secara rasmi. Kalau belum diumumkan, itu cuma spekulasi pihak luar,” katanya, ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini.

Ketua Jurulatih beregu campuran, Nova Widianto sahkan BAM belum memuktamadkan senarai pemain yang menggalas cabaran ke Piala Sudirman.
Nova menjelaskan bahawa nama pemain yang dikongsi akaun media sosial peminat badminton itu, diambil dari senarai panjang (longlist) Persekutuan Badminton Dunia (BWF), kerana masih menyenaraikan tiga pasangan beregu campuran, iaitu Goh Soon Huat-Shevon Lai, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin, dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.
“Untuk nama beregu campuran, memang masih dalam longlist. Kita belum umumkan siapa yang akan pergi ke Piala Sudirman. Tang Jie-Toh Ee Wei pun masih dalam senarai panjang,” katanya lagi.
Ditanya mengenai berapakah pasangan yang akan dipilih untuk senarai akhir, Nova berkata, keputusan muktamad masih belum dibuat dan tertakluk kepada mesyuarat dan perbincangan lanjut dengan BAM.

Senarai pemain negara yang tular di media sosial milik peminat badminton negara.
“Kuota 20 pemain itu masih terbuka. Mungkin dua pasangan, mungkin juga tiga. Kita tunggu dan lihat bagaimana keputusan akhir nanti. Pasti akan ada mesyuarat untuk putuskan senarai terakhir,” tambah beliau.
Piala Sudirman 2025 dijadual berlangsung di Xiamen, China pada 27 April hingga 4 Mei ini.
Piala Sudirman adalah kejohanan utama dalam kalendar badminton dunia yang menghimpunkan barisan pemain terbaik setiap negara dalam format berpasukan campuran.
BAM dijangka mengumumkan senarai akhir skuad Piala Sudirman pada tarikh tutup pasukan menghantar senarai pemain, 14 April ini.