PEMILIHAN dirinya sebagai pengganti saat akhir, dianggap sebagai peluang keemasan menambah pengalaman.
Choong Hon Jian yang gembira dapat kembali bersama-sama Muhammad Haikal Nazri, tidak mahu mensia-siakan peluang membarisi skuad Piala Thomas negara pada kejohanan di Chengdu, China bermula Sabtu ini.
Hon Jian mengakui teruja mendapat panggilan itu, lebih-lebih lagi dapat ke kejohanan itu bersama Haikal, yang lebih awal terpilih dalam skuad Piala Thomas kali ini.
“Memang sangat gembira terpilih kerana untuk kes saya, hanya dipilih pada saat akhir. Pada awalnya saya pun tak tahu (terpilih) kerana pasukan boleh buat pilihan sama ada mahu ambil pemain perseorangan atau beregu.
“Masa mula-mula Haikal terpilih, saya tak fikir apa-apa sebab kami semua adalah satu pasukan, tak boleh fikir perkara yang negatif.
“Sudah pasti saya akan berikan segala-galanya jika diberi peluang untuk beraksi,” katanya, ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2, sebelum berlepas ke Chengdu, pada Rabu.
Sebelum ini, Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky terpaksa menggugurkan pemain perseorangan lelaki negara Ng Tze Yong yang perlu menjalani pembedahan tulang belakang kali kedua.
Beliau kemudian mengumumkan tempat pemain negara yang menduduki ranking ke-18 dunia itu akan digantikan dengan Hon Jian.
Tze Yong mengalami kecederaan belakang di Terbuka Malaysia Januari lalu, sebelum mendapat kecederaan berulang pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 di Shah Alam, Selangor, Februari, sebelum menjalani pembedahan kali pertama.
Pemain berusia 24 tahun itu kemudian menarik diri daripada menyertai Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2024 di Ningbo, China, yang sekali gus menutup peluangnya untuk layak beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.
Bagaimanapun BAM tetap menamakan Tze Yong antara barisan pemain perseorangan lelaki negara yang akan menggalas tugas di Piala Thomas sebelum digugurkan.