GIMNAS negara, Ng Chun Chen bagai sudah lali apabila sekali lagi tidak berpeluang untuk pulang ke kampung halaman bagi menyambut Tahun Baharu Cina bersama keluarga tercinta.
Chun Chen,22, meluahkan bahawa dirinya terpaksa akur terhadap perkara yang terbaik buat dirinya tambahan lagi dia perlu fokus menghadapi kelayakan Olimpik di Kaherah, Mesir pada Selasa depan.
Menurut atlet kelahiran Pulau Pinang itu juga, sudah tentu perasaan sedih kerana tidak dapat menikmati perayaan yang cukup bermakna bersama saudara mara dan sahabat handai.
“Walaupun hari yang lalu ibu saya ada datang melawat saya, tetapi saya tetap berasa sedih kerana tidak dapat berjumpa dengan datuk, nenek saya.
“Saya rindu mereka sebab mereka sudah warga emas, kita tidak tahu bila lagi untuk berjumpa dengan mereka.
“Selain itu, saya juga rindu nak menjamah kuih kapit sewaktu raya. Majlis makan besar juga saya terpaksa lupakan untuk tahun ini.
“Ini semua pengorbanan saya buat sukan gimnas dan saya cuma berharap supaya tahun ini saya dapat melepasi kelayakan ke Olimpik Paris 2024. Saya ingin lakukan yang terbaik, begitu juga dengan rakan-rakan saya yang lain. Kita pasti boleh!,” ujar Chen kepada FLASH SUKAN.
Chun Chen dan beberapa lagi gimnas negara seperti Sharul Aimy bakal mengharungi empat Kejohanan Dunia yang bermula di Mesir pada 15 hingga 18 Februari untuk merebut slot ke pentas berprestij Olimpik tahun hadapan.